MGB BERHAD TAMPIL TEKNOLOGI TERKINI DARI ITALI UNTUK KILANGNYA DI JEDDAH, ARAB SAUDI
Kerjasama dimeterai dengan syarikat terkemuka Itali
SELANGOR, 1hb September 2023 – MGB Berhad (“MGB” atau “Kumpulan”), penyedia solusi perkhidmatan dan pembangunan hartanah serta subsidiari LBS Bina Group Berhad, hari ini mengumumkan bahawa anak Syarikat milik penuh tidak langsungnya, MGB International for Industry (“MGBI”) telah memeterai memorandum kerjasama (“MOC”) dengan Nordimpianti System S.R.L. (“Nordimpiati”) dan MCT Itali S.R.L (“MCT Itali”).
Di bawah terma MOC, MGBI akan meneroka dan bekerjasama dengan kedua-dua Nordimpianti dan MCT Itali berhubung dengan menyelaras, memperhalusi, mengautomasi dan menggunakan teknologi digital untuk meningkatkan kecekapan jentera sekaligus mengoptimumkan operasi untuk menghasilkan produk konkrit pratuang Sistem Binaan Berindustri (IBS) bagi operasi kilang MGBI di Jeddah, Arab Saudi. Di samping itu, MGBI berhasrat untuk bekerjasama dengan kedua-dua Nordimpianti dan MCT Itali dari segi perundingan dan latihan untuk mengautomasikan pengeluaran konkrit pratuang dan mengaplikasi Kecerdasan Buatan bagi membantu di dalam penggunaan teknologi konkrit.
Nordimpianti merupakan salah satu daripada pengeluar mesin dan peralatan terkemuka dunia bagi pengeluaran elemen konkrit prategasan, terutamanya yang digunakan dalam aplikasi pembinaan residensi, sivil, industri dan infrastruktur. Selain itu, ia turut menyediakan perkhidmatan rundingan untuk sektor pembinaan.
Sementara itu, MCT Itali merupakan sebuah syarikat berpengkalan di Itali dengan reputasi mantap di dalam pembekalan loji pratuang dan sistem pengedaran konkrit di seluruh dunia. Dengan pengalaman lebih daripada 55 tahun, fokus utama MCT Itali adalah teknologi konkrit menerusi kaedah Kecerdasan Buatan yang membolehkan pelanggan mencapai pengeluaran konkrit pratuang dengan efisien sekaligus meminimumkan ralat operasi serta pembaziran dan mengoptimumkan kos.
Majlis menandatangani MOC itu telah berlangsung di Chieti, Itali, di mana Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif MGB, Datuk Richard Lim menandatangani bagi pihak MGB, manakala Nordimpianti diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Encik Gian Piero Gagliardi dan MCT Itali diwakili oleh Presidennya, Encik Lamberto Marcantonini. Majlis turut disaksikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MGB, Encik Wong Tack Leong dan Ketua Pegawai Eksekutif MGBI, Encik Lau Chee Tat.
Naib Pengerusi Eksekutif MGB, Tan Sri Ir. Lim Hock San berkata, “Kami berharap menerusi kerjasama dengan Nordimpianti dan MCT Itali, kami dapat bertukar-tukar pengetahuan dan pendapat. Kerjasama ini amat penting, tambahan pula Nordimpianti dan MCT Itali amat berpengalaman di dalam membangunkan jentera pengeluaran automasi termaju, dan boleh dilaksanakan di kilang kami. Penambahbaikan dan inovasi secara berterusan adalah penting, terutamanya di era pendigitalan dan peningkatan penggunaan kecerdasan buatan, di mana pemain industri di Malaysia perlu bersaing di peringkat global. Oleh itu, kita harus bersedia untuk meneroka Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0). Ianya relevan bagi memastikan generasi masa hadapan tidak terjejas dalam ekonomi global. MGB teruja untuk meningkatkan pemahaman dan mengintegrasikan teknologi masing-masing dengan lebih baik bagi meningkatkan kecekapan pengeluaran kilang kami.
Selaras dengan Teknologi Nilai Tambah (VadTech) yang dibangunkan oleh MGB, iaitu untuk memberi penyelesaian lengkap dan berkualiti tinggi di samping kos kompetitif dalam membawa nilai yang baik bagi perniagaan dan pelanggan kami, MGB akan terus berinovasi, membangun serta memperhalusi cara untuk meningkatkan sinergi bagi keserasian peralatan dan jentera kami sekaligus meningkatkan kecekapan operasi. MGB turut komited untuk memastikan penyelesaian VadTech sentiasa dikemas kini dengan teknologi piawaian terkini dan berupaya menawarkan nilai dan kualiti terbaik kepada rakan kongsi perniagaan serta pelanggan. Oleh itu, kami teruja dengan kerjasama baharu ini, dan berharap untuk mencapai kecemerlangan melalui teknologi pratuang IBS kami.”
-Tamat –