PCSB (PNSB) & MGB BERHAD LANCAR PECAH TANAH RUMAH IDAMAN MBI FASA KETIGA – IDAMAN CAHAYA
Rumah Kediaman Bertingkat Mampu Milik Bermula dari RM250,000
SELANGOR, 28 Julai 2023 – Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor di bawah seliaan Menteri Besar Selangor (Diperbadankan) (MBI), dengan kerjasama MGB Berhad (“MGB”), penyedia solusi perkhidmatan pembinaan dan pembangunan hartanah, dan anak syarikat LBS Bina Group Berhad (“LBS”), hari ini mengadakan majlis pecah tanah Idaman Cahaya, fasa ketiga projek Rumah Idaman MBI di Cahaya Alam, Shah Alam.
Idaman Cahaya, sebuah pembangunan yang bakal tersergam indah di kawasan Shah Alam, terdiri daripada 2 bidang tanah, 4.72 ekar (Idaman Cahaya 1) dan 7.52 ekar (Idaman Cahaya 2) pangsapuri bertingkat tinggi dengan anggaran jumlah Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM 394 juta. Projek itu menyediakan pilihan rumah mampu milik dengan variasi susun atur dan harga menarik bermula RM250,000. Setiap daripada 568 unit di Idaman Cahaya direka eksklusif bagi memenuhi keperluan pemilik rumah moden, lengkap dengan peralatan penting seperti penghawa dingin, peti sejuk, almari pakaian, kabinet dapur, televisyen, kabinet televisyen, dan pemanas air.
Majlis diserikan dengan kehadiran YAB Dato’ Seri Amirudin Bin Shari, Menteri Besar Selangor, yang turut merasmikan pelancaran dan disaksikan oleh barisan tetamu kehormat termasuk YB Puan Rodziah Binti Ismail, Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Negeri Selangor, dan wakil dari MBI, LPHS, PNSB, MGB dan LBS. Usai kejayaan pelancaran Idaman Bandar Saujana Putra dan Idaman Melur, masing-masing pada 2021 dan 2022, projek Rumah Idaman MBI terus menguasai pasaran, dengan kadar pengambilan yang luar biasa dari satu fasa ke fasa seterusnya.
Projek Rumah Idaman MBI, inisiatif usahasama di antara MGB dan PNSB Construction Sdn Bhd., anak syarikat PNSB, menyasarkan matlamat untuk membina 7,210 unit rumah mampu milik, dengan teknologi pratuang Sistem Binaan Berindustri (“IBS”) MGB. Tanggungjawab pembinaan Idaman Cahaya dan Idaman Sari terletak sepenuhnya di bawah seliaan Konsortium PCSB-MGB. MGB turut komited untuk melancarkan Idaman Cahaya dan Idaman Sari dengan kadar pengambilan sebanyak 100% pada hari pecah tanah tersebut.
Tan Sri Ir. Lim Hock San, Naib Pengerusi Eksekutif MGB, berkata, “Kami amat berbangga dapat berganding bahu dengan pihak kerajaan untuk merealisasikan visi mereka di dalam menyediakan rumah mampu milik dan boleh dimiliki oleh setiap rakyat Malaysia. Berdasarkan kepada pengalaman pembinaan, kami yakin dapat memberikan yang terbaik terhadap kualiti Rumah Idaman MBI sekaligus mencapai penanda aras rumah mampu milik di Selangor. Sistem pratuang IBS dalam setiap pembangunan Rumah Idaman MBI mengukuhkan lagi komitmen kami untuk menjadi penyedia penyelesaian perumahan dan dalam jangka pendek, objektif utama kami adalah untuk memastikan kelancaran pembinaan baki projek Rumah Idaman MBI, yang akan memacu pertumbuhan berterusan pada tahun-tahun akan datang.”
Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, YM Raja Ahmad Shahrir Iskandar bin Raja Salim turut menekankan komitmen PNSB untuk terus membangunkan Rumah Idaman di lokasi penting berprospektif tinggi di Selangor, termasuk di daerah-daerah Petaling, Gombak, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam. PNSB turut sama berkolaborasi di dalam membina sejumlah 22 buah projek lagi dengan kerjasama strategik pemaju-pemaju perumahan yang bereputasi. Sebanyak 2,059 unit Idaman Abadi di Kajang 2 telahpun siap dibina, manakala baki 6 pembinaan untuk 5,596 unit di empat daerah lain sedang pesat dibangunkan.
YAB Dato’ Seri Amirudin turut berkongsi dedikasi Kerajaan Negeri Selangor yang tidak berbelah bahagi terhadap kesejahteraan penduduknya dengan penyediaan rumah yang berkualiti, selesa dan lengkap dengan kemudahan penting. Beliau juga menekankan lokasi yang strategik, harga mampu milik dan unit rumah yang separa lengkap dengan perabot bagi projek Rumah Idaman Cahaya dan Idaman Sari menjadi tarikan utama kepada bakal pembeli hartanah. Beliau juga yakin terhadap kejayaan Idaman Sari, Idaman Cahaya, dan pembangunan Rumah Idaman MBI yang lain, sebagai komitmen mereka untuk memenuhi keperluan perumahan individu yang bekerja dan keluarga muda di samping meningkatkan kualiti hidup penduduk Selangor.
Kriteria kelayakan umum bagi Projek Rumah Idaman MBI adalah termasuk warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas, dengan keutamaan diberikan kepada mereka yang telah bekerja atau menetap di Selangor. Kriteria tambahan termasuk pendapatan isi rumah di bawah RM10,000 sebulan dan tiada pemilikan hartanah terdahulu di Selangor. Maklumat lanjut mengenai Idaman Cahaya dan Idaman Sari boleh dilayari menerusi pautan berikut:
Idaman Cahaya: https://mgbgroup.com.my/our-expertise/rumah-idaman/idaman-cahaya/
Idaman Sari: https://mgbgroup.com.my/our-expertise/rumah-idaman/idaman-sari/
Lawatan Maya: https://properly.com.my/3dtour/idaman-vr/
-Tamat-