Konsortium PCSB (PNSB) – MGB Berhad Lancar
Projek Rumah Idaman MBI Yang Kedua – Idaman Melur
Rumah kediaman mampu milik bertingkat bermula daripada RM250,000
SELANGOR, 29 Oktober 2022 – Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) dengan kerjasama MGB Berhad (“MGB” atau “Kumpulan”) (anak syarikat LBS Bina Group Berhad), penyedia solusi perkhidmatan pembinaan dan pembangunan hartanah, hari ini mengadakan majlis pelancaran projek Idaman Melur, salah satu daripada enam projek Rumah Idaman MBI di Galeri Jualan KITA @ Cybersouth. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Amirudin Bin Shari, Menteri Besar Selangor, dan disaksikan oleh YB Puan Rodziah Binti Ismail, Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Negeri Selangor; YM Raja Ahmad Shahrir Iskandar Bin Raja Salim, Ketua Pegawai Eksekutif PNSB; YBhg Tan Sri Lim Hock San, Pengerusi Eksekutif LBS Bina Group Berhad; YBhg Dato’ Dr TPr. Juhari Bin Ahmad, Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS); YBhg Datuk Wira Joey Lim Hock Guan, Pengarah Urusan Kumpulan MGB Berhad dan YBhg Datuk Richard Lim Lit Chek, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif MGB Berhad.
Selepas kejayaan pelancaran projek Idaman Bandar Saujana Putra (BSP) pada Oktober 2021, di mana ianya terbukti bahawa projek ini berjaya menarik minat pembeli dengan kadar pengambilan yang kukuh bagi kesemua unit yang ditawarkan dari satu fasa ke fasa yang lain.
Idaman Melur terletak di Cybersouth, Sepang dan terdiri daripada dua buah blok pangsapuri 23 tingkat yang dibina di atas tanah berkeluasan 12.07 ekar dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) RM406 juta. Projek pangsapuri ini dibina berdasarkan 3 variasi reka bentuk dan ditawarkan dengan harga bermula daripada RM250,000. Idaman Melur merangkumi sejumlah 1,448 unit pangsapuri berkeluasan binaan minimum 1,000 kaki persegi dengan 3 bilik tidur dan 2 bilik air serta dilengkapi penghawa dingin, peti sejuk, almari pakaian, kabinet dapur, televisyen, kabinet televisyen dan pemanas air.
Enam buah projek Rumah Idaman MBI, yang terdiri daripada 7,210 unit rumah mampu milik kesemuanya memanfaatkan teknologi pra-tuang Sistem Binaan Berindustri (IBS) MGB. Projek-projek ini akan dibina oleh Konsortium PCSB-MGB, yang merupakan usaha sama antara MGB dan PNSB Construction Sdn. Bhd, anak syarikat PNSB. MGB menjangkakan untuk melancarkan empat lagi baki projek Rumah Idaman MBI menjelang 2023. Pendaftaran bagi Idaman Melur boleh dilakukan melalui https://ehartanah.lphs.gov.my/ dan https://mgbgroup.com.my/idaman-melur/.
Naib Pengerusi Eksekutif MGB, Tan Sri Lim Hock San mengulas, “Kami berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada pemaju hartanah yang akan membantu merealisasikan misi kerajaan dalam memastikan rumah-rumah dibina dengan harga yang mampu dimiliki oleh setiap rakyat Malaysia. Dengan pengalaman luas kami dalam pembinaan, kami yakin akan dapat membina rumah Rumah Idaman MBI dengan kualiti yang akan menjadi penanda aras untuk rumah mampu milik di Selangor.
MGB berbesar hati kerana sistem pratuang IBS kami digunakan ke dalam pembinaan pembangunan Rumah Idaman MBI. Ini selaras dengan matlamat kami untuk menjadi penyedia solusi perumahan terkemuka melalui sistem IBS. Untuk jangka pendek, matlamat MGB adalah untuk memastikan pelancaran baki projek Rumah Idaman MBI berada di landasan yang betul dan seterusnya akan membawa kepada tempahan yang berterusan pada tahun-tahun mendatang.”
Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, YM Raja Ahmad Shahrir Iskandar Bin Raja Salim dalam ucapannya berkata, “PNSB akan terus merealisasikan Projek Rumah Idaman di kawasan-kawasan strategik dan berpotensi Negeri Selangor, antaranya di daerah Petaling, Gombak, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam. Di dalam 24 buah projek yang dilaksanakan oleh PNSB, sebanyak 45,760 unit Rumah Idaman bakal dibangunkan bersama rakan-rakan strategik, satu usaha yang direalisasikan dengan bantuan dan gandingan tenaga daripada semua pihak. Mengimbas kembali projek yang telah dilaksanakan; sebanyak 2,059 unit Idaman Abadi di Kajang 2 telahpun siap manakala 1,260 unit idaman Bukit Jelutong sedang giat dilaksanakan. Disebabkan permintaan yang tinggi, unit-unit kedua pembangunan tersebut kini telah pun habis dijual.”
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin bin Shari dalam ucapan perasmiannya berkata, “Kerajaan Negeri Selangor sentiasa prihatin dan mengambil berat hal ehwal kebajikan rakyat selangor terutama di dalam penyediaan kemudahan perumahan yang mencukupi, berkualiti, selesa serta kemudahan asas yang lain. Dengan matlamat untuk memperbaiki lagi mutu kehidupan rakyat.
Lokasi Rumah Idaman Melur yang strategik, dengan harga berpatutan bagi setiap unit, dan dilengkapi separa berperabot untuk setiap unit telah menjadi tarikan besar kepada pembeli hartanah.
Kami yakin Rumah Idaman Melur dan lain-lain lokasi projek rumah idaman yang akan dibangunakan bersama oleh PNSB dan LBS Bina Group Berhad akan meningkatkan kualiti hidup penduduk Selangor, dan sesuai dengan kehidupan individu kelas pekerja dan keluarga muda.”
-Tamat-
Mengenai Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) – www.pnsb.com.my
Permodalan Negeri Selangor Berhad atau dikenali sebagai PNSB merupakan anak syarikat milik penuh kerajaan negeri Selangor, dibawah seliaan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.
Sebagai sebuah organisasi milik kerajaan negeri Selangor, PNSB menumpukan pembangunan hartanah sebagai perniagaan teras, dengan membangun kediaman dan komersial serta perumahan dan perbandaran yang mampan dan mampu milik yang tertumpu di negeri Selangor dan Lembah Klang.
Melalui anak-anak syarikatnya, PNSB juga menyediakan perkhidmatan insurans melalui PNSB Insurance Brokers Sdn. Bhd. (PIBSB), perundingan pengurusan projek melalui PNSB Management Consultancy Sdn. Bhd. (PMCSB), perlombongan melalui PNSB Trading Sdn. Bhd. (PTSB) dan penerokaan aeroangkasa melalui PNSB Aero Frontier Sdn Bhd (PAFSB). Dengan misi mempelbagaikan perniagaannya, PNSB berhasrat untuk mencari peluang bekerjasama dengan pelabur-pelabur melalui anak syarikatnya, PNSB Investment Ventures Sdn. Bhd. (PIV).
PNSB juga tidak ketinggalan memainkan peranan yang penting di dalam melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat dan merupakan sebuah agensi kerajaan yang sangat prihatin dan aktif dalam aktiviti-aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi pihak kerajaan negeri Selangor dan PNSB sendiri.
Mengenai MGB Berhad
Ditubuhkan pada 2007, MGB Berhad (“MGB”) telah berkembang menjadi syarikat pembinaan serta pemaju hartanah dengan perhatian utama berfokus kepada pasaran pembinaan meluas dan ruang kediaman mampu milik bagi rakyat Malaysia.
Melalui anak-anak syarikatnya, MGB menyediakan kapasiti penuh reka bentuk, pembinaan serta perkhidmatan pembangunan termasuk mereka, membina, pengurusan projek, kejuruteraan sivil, kejuruteraan nilai, kepakaran geoteknikal serta pengeluaran Sistem Konkrit Tetuang (IBS).
Dengan rekod 14 tahun di dalam bidang pembinaan residensi, komersial serta bangunan industri, dan kerja-kerja infrastruktur, MGB berdiri kukuh di samping berjaya menyiapkan lebih dari 16,000-unit hartanah, terutamanya di segmen kediaman mampu milik. MGB juga telah menyiapkan 4,000 rumah menggunakan teknologi IBS.
Untuk keterangan lanjut, layari www.mgbgroup.com.my.
Untuk pertanyaan media, sila hubungi:
Unit Perhubungan Awam
Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB)
Emel: [email protected]
Jabatan Komunikasi Korporat, Media & Digital
LBS Bina Group Berhad
Emel: [email protected]