KEUNTUNGAN SELEPAS CUKAI MGB (Q2FYE2024) MELONJAK SEBANYAK 27.1%
Disokong Peningkatan Ketara Segmen Pembangunan Hartanah
SELANGOR, 19 Ogos 2024 – MGB Berhad (“MGB” atau “Kumpulan”), penyedia solusi perkhidmatan dan pembangunan hartanah serta anak syarikat LBS Bina Group Berhad, hari ini mengumumkan keputusan suku tahunan kedua untuk tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2024 (“Q2FYE2024”).
Bagi suku dalam tinjauan, Idaman Melur serta Idaman Cahaya Fasa 1 dan Fasa 2 telah menunjukkan kemajuan pembangunan pesat, sekali gus menyumbang lonjakan hasil daripada pembangunan hartanah. Hasil segmen tersebut meningkat sebanyak sebelas kali ganda tahun ke tahun, daripada RM 13.3 juta pada Q2FYE2023 kepada RM 149.5 juta. Implikasi daripada peningkatan ini, menunjukkan catatan kenaikan pendapatan MGB kepada 15.2% dari tahun ke tahun, sebanyak RM 268.0 juta.
Seiring dengan pertumbuhan hasil, keuntungan sebelum cukai (“PBT”) melonjak kepada RM 22.0 juta, merekod peningkatan sebanyak 30.6% berbanding RM 16.8 juta pada tempoh yang sama tahun lalu. Keuntungan selepas cukai (“PAT”) pula mencapai RM 15.8 juta, menunjukkan kenaikan sebanyak 27.1% daripada RM 12.4 juta. Kejayaan ini adalah hasil daripada usaha berterusan Kumpulan di dalam meningkat serta mengekalkan kecekapan operasi serta pelaksanaan inisiatif penjimatan kos, yang telah menyumbang kepada keputusan kewangan positif, dengan peningkatan ketara dalam margin keuntungan.
Untuk tempoh kewangan kumulatif enam bulan berakhir pada 30 Jun 2024, MGB mencatat peningkatan hasil sebanyak 18.4% tahun ke tahun, daripada RM 410.4 juta kepada RM 485.9 juta. Ini berikutan sumbangan ketara daripada segmen pembangunan hartanah, yang meningkat daripada RM 22.5 juta kepada RM 237.1 juta daripada Idaman Melur, Idaman Cahaya Fasa 1 dan Fasa 2, Idaman Sari, dan Saujana Indah Fasa 1 dan Fasa 2. Oleh itu, keuntungan sebelum cukai (PBT) dan keuntungan selepas cukai (PAT) masing-masing meningkat sebanyak 29.4% dan 25.3% kepada RM 42.6 juta dan RM 30.9 juta.
Mengulas prestasi kewangan, Pengerusi Eksekutif Kumpulan MGB, Tan Sri Ir. (Dr.) Lim Hock San berkata, “Prestasi kewangan suku tahun kedua MGB menunjukkan keupayaan kami untuk mencapai hasil yang stabil. Momentum teguh di dalam segmen pembangunan hartanah dijangka akan berterusan dengan pelancaran terkini Idaman Perdana di bawah projek Rumah Idaman. Di segmen pembinaan, kami gembira kerana telah berjaya menyelesaikan tiga buah projek, iaitu Ritma Perdana, Cybersouth @ KITA Mekar, dan Idaman BSP, dengan jumlah GDV sebanyak RM 719.0 juta.”
MGB akan terus menumpukan perhatian kepada penyelesaian projek-projek semasa, disokong oleh buku pesanan signifikan berjumlah sebanyak RM 1.27 bilion pada 31 Julai 2024, dengan jualan hartanah yang belum dibil dianggarkan sebanyak RM 700 juta. Selain itu, setakat tahun ini, Kumpulan turut memperoleh kontrak baharu bernilai RM 396.4 juta, yang dijangka akan memberi sumbangan positif kepada pendapatan untuk beberapa tahun akan datang.
Beliau menambah, “Komitmen kami terhadap kecemerlangan operasi dan disiplin terhadap kawalan kos telah membawa kepada peningkatan ketara dalam hasil kewangan kami, yang turut diiktiraf melalui anugerah ‘The Edge Centurion Club Awards 2024’. Pada tahun ini, kami bertekad untuk terus memperluas pembangunan rumah mampu milik dengan memanfaatkan Sistem Pembinaan Industri (IBS) konkrit pratuang, serta teknologi baharu dan pendekatan inovatif dalam proses pembinaan.
MGB optimis dalam kemampuan kami untuk mengekalkan momentum pertumbuhan dan mencapai pencapaian baharu dalam suku-suku akan datang. Jualan Rumah Idaman yang memberangsangkan mengesahkan keperluan untuk lebih banyak projek perumahan mampu milik, dan kekal sebagai segmen sasaran utama. Di peringkat antarabangsa, kami terus fokus dalam melaksanakan pembekalan dan pemasangan produk konkrit pratuang di Jeddah, Kerajaan Arab Saudi, dan berharap untuk memperkukuh rekod prestasi kami di rantau tersebut.”