Malaysian Generations Builder
Get A Quote

MGB WELCOMES MALAYSIAN DELEGATION TO ITS MODERN PRECAST CONCRETE FACTORY IN JEDDAH

Download PDF

Duta Malaysia ke Arab Saudi lawat kilang Pratuang MGB di Jeddah


MGB Berhad (“MGB” atau “Kumpulan”), penyedia penyelesaian pembinaan dan pembangunan hartanah serta anak syarikat LBS Bina Group Berhad, telah menerima kunjungan daripada anggota dan kakitangan Kedutaan Malaysia yang berpangkalan di Riyadh, Kerajaan Arab Saudi (“KSA”) ke operasi produk konkrit pratuang miliknya di Jeddah.

Lawatan tersebut diketuai oleh Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, YBhg Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah, diiringi oleh Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah Encik Roslan Sharif, Ketua Canselori di Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah Encik Anwar Abd Rahman serta Pesuruhjaya (Perdagangan) di Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah Encik Faizalkhan Jaafar. Mereka telah disambut oleh Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif MGB Berhad, YBhg Datuk Lim Lit Chek. Sepanjang lawatan tersebut, rombongan berpeluang menyaksikan sendiri proses pengeluaran dan pembuatan panel konkrit pratuang serta produk lain yang digunakan dalam pembinaan kediaman.

Menurut Wan Zaidi, di bawah Wawasan 2030, KSA telah membangunkan persekitaran perniagaan pembangunan hartanah yang kukuh dan dinamik, serta kepelbagaian ekonomi dan kemampanan. Wawasan 2030 bertujuan meningkatkan kadar pemilikan rumah di kalangan rakyat KSA kepada 70% menjelang tahun 2030. Sebagai sebahagian daripada visi ini, KSA sedang memperkukuh sektor hartanahnya bukan sahaja untuk menjadikan negara itu sebagai hab perniagaan dan pelancongan global, tetapi juga untuk memperluaskan peluang pemilikan rumah bagi rakyatnya, di samping memastikan akses yang lebih meluas kepada perumahan berkualiti. MGB menerusi kepakarannya dalam pembinaan perumahan berskala besar, berpeluang untuk meneroka dan menyertai pelan pembangunan hartanah di negara itu. Wan Zaidi turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada MGB atas kejayaan mereka menubuhkan perniagaan di KSA , dan berharap agar MGB memperoleh lebih banyak tempahan dan kontrak berprestij serta berskala besar daripada kerajaan dan pihak berkaitan di KSA.

MGB International for Industry, merupakan nak syarikat MGB yang mengendalikan kilang konkrit pratuang melalui usaha sama dengan Sany Alameriah Industrial (“SA”). Usaha sama yang dimeterai pada Julai 2023 ini merupakan projek antarabangsa pertama MGB, bermatlamat untuk menyertai pelaksanaan Wawasan 2030 KSA. Dengan pengalaman luas dalam pembinaan rumah mampu milik berskala besar, MGB dapat memanfaatkan kepakarannya dan memperoleh kelebihan untuk mendapatkan projek di negara tersebut.

SA ialah syarikat usaha sama antara SANY, pengeluar peralatan berat kedua terbesar di dunia, dan Alameriah, sebuah pemaju hartanah terkemuka yang terlibat dalam pembinaan am, infrastruktur, reka bentuk dan binaan, serta pembuatan konkrit pratuang.

MGB turut bekerjasama dengan Nordimpianti dan MCT Italy untuk menyelaras, menambah baik proses penggunaan mesinnya bagi meningkatkan kecekapan peralatan tersebut dan mengoptimumkan operasi bagi barisan pengeluarannya. Ini menyumbang kepada konsistensi dan kualiti keseluruhan produk MGB. Dengan kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 250,000 meter padu, kapasiti kilang di Jeddah adalah kira-kira 2.5 kali ganda lebih besar berbanding kilang Nilai di Malaysia serta  loji mudah alih di Alam Perdana, Selangor yang mempunyai kapasiti gabungan kira-kira 100,000 meter padu.

-Tamat-

MGB WELCOMES MALAYSIAN DELEGATION TO ITS MODERN PRECAST CONCRETE FACTORY IN JEDDAH