PEMEGANG SAHAM MGB LULUS BAYARAN AKHIR DIVIDEN
Kesemua 9 Resolusi Telah Diluluskan Pada Mesyuarat Agung Tahunan
Pemegang Saham MGB lulus Mandat untuk Beli Balik Saham Sebanyak 10%.
SELANGOR, 15 Jun 2022 – MGB Berhad (anak syarikat LBS Bina Group Berhad), penyedia solusi perkhidmatan pembinaan dan pembangunan hartanah, hari ini memuktamadkan Mesyuarat Agung Tahunan ke-20 (“AGM”) yang diadakan buat kali kedua secara maya sepenuhnya. MGB mengumumkan bahawa kesemua sembilan (9) resolusi yang dibentang untuk pertimbangan telah diluluskan oleh para pemegang sahamnya.
Para pemegang saham meluluskan, antara lain, pembayaran akhir dividen satu peringkat sebanyak 0.493 sen sesaham biasa bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (“Dividen”). Dividen berjumlah kira-kira RM2.92 juta, akan dibayar pada 20 Julai 2022 kepada pemegang saham yang namanya tercatat dalam Rekod Pendeposit pada 28 Jun 2022. Selain itu, MGB menerima kelulusan untuk membeli balik sehingga 10% daripada jumlah bilangan saham terbitan sedia ada dalam Syarikat.
Selepas berakhirnya mesyuarat AGM, Naib Pengerusi Eksekutif MGB Tan Sri Dato’ Sri Lim Hock San mengulas, “Kami berbesar hati menerima sokongan para pemegang saham dan mencapai keputusan positif pada mesyuarat AGM ke-20 ini . Tahun 2022 merupakan tahun yang mencabar kerana kita berdepan dengan isu geopolitik dan inflasi yang merupakan antara cabaran untuk syarikat pembinaan. Namun begitu, kami akan terus berusaha dan melaksanakan projek kami. Setakat ini, MGB telah membina lebih daripada 19,000-unit hartanah, memanfaatkan penggunaan Sistem Binaan Berindustri (IBS) dalaman kami yang telah membantu menyiapkan lebih daripada 5,000-unit rumah. Sehingga 31 Mei 2022, buku pesanan pembinaan kami berjumlah RM1.64 bilion dengan anggaran nilai pembangunan kasar RM2.15 bilion di bawah segmen pembangunan hartanah kami. Pada masa ini, MGB berada di dalam keadaan stabil dan konsisten untuk beberapa tahun akan datang.
Sebagai tambahan, kami gembira untuk mengumumkan kelulusan bagi pembayaran dividen sebanyak 0.493 sen sesaham kepada para pemegang saham kami. Sehubungan itu, ini menjadikan dividen akhir pertama yang akan dibayar dalam sejarah syarikat kami. Selaras dengan kemajuan MGB, kami berharap untuk terus konsisten di dalam memberi ganjaran kepada pemegang saham kami.
– Tamat –
Mengenai MGB Berhad
Ditubuhkan pada 2007, MGB Berhad (“MGB”) telah berkembang menjadi syarikat pembinaan serta pemaju hartanah dengan perhatian utama berfokus kepada pasaran pembinaan meluas dan ruang kediaman mampu milik bagi rakyat Malaysia.
Melalui anak-anak syarikatnya, MGB menyediakan kapasiti penuh reka bentuk, pembinaan serta perkhidmatan pembangunan termasuk mereka, membina, pengurusan projek, kejuruteraan sivil, kejuruteraan nilai, kepakaran geoteknikal serta pengeluaran Sistem Konkrit Tetuang (IBS).
Dengan rekod 14 tahun di dalam bidang pembinaan residensi, komersial serta bangunan industri, dan kerja-kerja infrastruktur, MGB berdiri kukuh di samping berjaya menyiapkan lebih dari 16,000-unit hartanah, terutamanya di segmen kediaman mampu milik. MGB juga telah menyiapkan 4,000 rumah menggunakan teknologi IBS.
Untuk keterangan lanjut, layari www.mgbgroup.com.my.
Untuk pertanyaan media, sila hubungi:
1. Ng Shu Wain Emel: [email protected]
2. Jabatan Komunikasi Korporat, Media & Digital, LBS Emel: [email protected]