MGB Raih Kontrak di Arab Saudi
MGB Berhad (“MGB” atau “Kumpulan”), penyedia solusi pembinaan dan pembangunan hartanah serta anak syarikat LBS Bina Group Berhad, hari ini mengumumkan bahawa anak syarikat tidak langsung yang dimiliki sepenuhnya , iaitu MGB International For Industry (“MGBI”), telah menerima dua pesanan pembelian baharu (“Pesanan”) daripada Sany Alameriah (“SA”) bernilai kira-kira SAR75.06 juta (bersamaan RM88.57 juta).
Pesanan ini berkaitan dengan kontrak yang ditandatangani antara SA dan Shapoorji Pallonji Mideast LLC (“SPM”) bagi projek pembekalan dan pemasangan elemen pratuang untuk Al Arous – Fasa 1 unit kediaman keluarga – Zon B & C serta kemudahan awam dalam pembangunan berprestij ROSHN ALAROUS yang terletak di utara Jeddah, Kerajaan Arab Saudi (“KSA”). Skop kerja turut merangkumi reka bentuk & bina, kejuruteraan, pembuatan, pembaikan dan lain-lain.
Pembekalan dan pemasangan produk konkrit pratuang, dianggarkan terdiri daripada 42,000 meter padu elemen konkrit pratuang, atau bersamaan dengan 326 unit hartanah, dijangka siap dalam tempoh 14 bulan dari tarikh permulaan yang akan ditentukan setelah SPM menerima jaminan bank.
Pembangunan ROSHN ALAROUS, yang turut digelar sebagai “Pengantin Laut Merah”, dijangka menawarkan lebih daripada 2,200 unit rumah keluarga tunggal, dan dilengkapi jalan serta kawasan kejiranan mesra pejalan kaki, ruang hijau, di samping kemudahan runcit, sukan dan rekreasi. ROSHN merupakan pemaju hartanah nasional di KSA yang disokong oleh Dana Pelaburan Awam, iaitu dana kedaulatan KSA dengan lebih daripada USD700 bilion aset di bawah pengurusannya.
Manakala SPM merupakan anak syarikat kepada Shapoorji Pallonji International, iaitu cabang antarabangsa Shapoorji Pallonji Engineering & Construction, yang beroperasi di bawah Shapoorji Pallonji and Company Pvt. Ltd. dan pakar di dalam menyediakan penyelesaian menyeluruh dalam projek kejuruteraan dan pembinaan di luar India.
Mengulas mengenai pesanan terkini MGBI, Pengerusi Eksekutif Kumpulan MGB, Tan Sri Dato’ Sri Ir. (Dr.) Lim Hock San berkata, “Pesanan terkini ini dilihat mengukuhkan lagi kedudukan MGB di KSA. Dengan penambahan kepada pesanan sedia ada, MGBI berupaya mengukuhkan kehadirannya serta merancang pertumbuhan perniagaan di rantau ini. Setiap pesanan yang diterima memberikan kami peluang untuk menyesuaikan dan menambah baik produk kami agar ianya menepati keperluan pelanggan dalam kawasan setempat. MGBI akan terus mempromosikan kepakarannya sebagai penyedia penyelesaian pembinaan menyeluruh. Di kesempatan ini, kami juga ingin mengucapkan setinggi penghargaan kepada Sany Alameriah atas sokongan dan kerjasama yang berterusan. Kepercayaan dan kerjasama mereka amat penting dalam kejayaan kami, dan diharap hubungan kukuh ini dapat dapat diteruskan di masa hadapan.”
Selain Pesanan di atas, MGBI baru-baru ini telah menerima dua pesanan berasingan untuk pembuatan papak teras berongga bagi dua projek lain di sekitar Jeddah. Pesanan pertama, berjumlah 6,817 meter persegi, adalah untuk projek Mayan dengan nilai SAR516,212.00(bersamaan RM609,130.16). Pesanan kedua, berjumlah 820 meter persegi, adalah untuk projek Sapac dengan nilai SAR118,442.17 (bersamaan RM139,761.76). Kedua-dua pesanan ini, bersama dengan projek terkini yang diperoleh, dijangka memberikan sumbangan positif kepada pendapatan MGB, seterusnya mengukuhkan prestasi kewangan akan datang.
Melangkah ke hadapan, MGB menjangkakan lebih banyak lagi pesanan untuk produk konkrit pratuangnya pada tahun 2025, mencerminkan permintaan pasaran yang kukuh dan kehadiran yang semakin berkembang di KSA.
-Tamat-
