Malaysian Generations Builder
Get A Quote

MGB REPORTS HIGHEST EVER EARNINGS IN FYE2023

Download PDF

MGB REKOD HASIL TERTINGGI BAGI FYE2023

Peningkatan PAT Tiga Kali Ganda Tahun Ke Tahun

  • Hasil FYE2023 meningkat 58.6% kepada RM971.8 juta
  • FYE2023 PBT meningkat 170.3% kepada RM69.2 juta
  • Hasil Q4FYE2023 meningkat 109.7% kepada RM305.3 juta
  • Q4FYE2023 PBT meningkat 170.1% kepada RM18.4 juta

 

SELANGOR, 19 Februari 2024 – MGB Berhad  (“MGB atau Kumpulan”), penyedia solusi perkhidmatan dan pembangunan hartanah serta subsidiari LBS Bina Group Berhad, hari ini mengumumkan keputusan kewangan belum diaudit bagi suku keempat (“Q4FYE2023”) bagi tahun berakhir 31 Disember 2023 (“FYE2023”).

Bagi tahun kewangan berakhir 2023, Kumpulan mencatatkan hasil sebanyak RM971.8 juta, merekodkan peningkatan 58.6% daripada RM612.8 juta tahun sebelumnya. Pertumbuhan besar ini didorong oleh peningkatan 45.4% hasil diperolehi daripada segmen pembinaan dan perdagangan, berjumlah RM856.2 juta. Peningkatan ini turut didorong oleh projek-projek seperti Idaman BSP, KITA Sejati dan KITA Mekar. Selain itu, pendapatan segmen pembangunan hartanah menyaksikan peningkatan yang memberangsangkan sebanyak 385.5% kepada RM115.6 juta, berikutan bayaran berperingkat yang lebih tinggi bagi projek Idaman Melur dan Idaman Cahaya Fasa 1, serta penyerahan milikan kosong bagi projek Laman Bayu Fasa 3 dan Fasa 4.

Selaras dengan peningkatan hasil, Kumpulan melaporkan keuntungan sebelum cukai (“PBT”) sebanyak RM69.2 juta. Keuntungan selepas cukai (“PAT”) meningkat tiga kali ganda, mencecah RM51.1 juta. Pendapatan sesaham meningkat daripada 2.55 sen kepada 8.25 sen bagi FYE2023, menghasilkan nisbah harga kepada pendapatan sebanyak 10.6 kali ganda, berdasarkan harga penutupan saham sebanyak RM0.87.

Dengan tiga suku prestasi kewangan yang memberangsangkan, momentum pertumbuhan tertinggi direkodkan pada Q4FYE2023, dengan lonjakan hasil sebanyak 109.7% kepada RM305.3 juta tahun ke tahun. Peningkatan didorong oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada segmen pembinaan dan perdagangan, serta pembangunan hartanah. Segmen pembinaan dan perdagangan mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 73.5%, mencecah RM241.5 juta, manakala segmen pembangunan hartanah mencatatkan peningkatan sebanyak sembilan kali ganda, berjumlah RM63.9 juta. Serentak dengan itu, PBT dan PAT mengalami peningkatan sebanyak 170.1% dan 259.9%, masing-masing mencecah RM18.4 juta dan RM13.7 juta.

Mengulas pencapaian kewangan ini, Pengerusi Eksekutif Kumpulan MGB, Tan Sri Ir (Dr) Lim Hock San berkata, “Sebagai penutup 2023, kami berjaya memperoleh peningkatan tiga kali ganda bagi keuntungan bersih kami. MGB merekodkan PAT tertinggi setakat ini, hasil daripada usaha berterusan di dalam memantapkan operasi, serta melakukan keputusan yang strategik di samping kerja keras serta dedikasi berterusan seluruh warga MGB. Dengan tenaga berkemahiran tinggi serta pasukan kepimpinan kami yang berwawasan,  setiap individu berperanan dalam memacu kejayaan MGB. Memandang ke hadapan, kami teruja dengan pelbagai peluang masa hadapan dan yakin akan keupayaan kami untuk memanfaatkannya. Dengan rekod kejayaan yang kukuh, pasukan yang kuat serta visi strategik yang jelas, MGB dilihat   berada pada kedudukan yang baik untuk mengharungi segala cabaran dan merebut segala peluang masa hadapan.” 

Beliau menambah, “Melangkah ke 2024, kami mengambil pendekatan optimis dan berhati-hati untuk memberikan prestasi kewangan yang memberangsangkan, disokong oleh buku pesanan tertunggak sebanyak RM1.2 bilion dan jualan belum dibil sebanyak RM0.7 bilion  daripada projek hartanah yang sedang berjalan dengan GDV keseluruhan sebanyak RM1.2 bilion. Selain itu, kami menerima dua (2) pesanan belian daripada Sany Alameriah berjumlah RM119.55 juta bagi pembekalan dan pemasangan 400 buah vila di pembangunan Roshn Alarous, utara Jeddah yang dijangka membantu meningkatkan prestasi dan jenama kami. Perkembangan ini pastinya menyumbang secara positif kepada hasil untuk 2024, dan sebagai pesanan antarabangsa pertama kami, MGB akan menggunakan kepakarannya dalam pembinaan dan teknologi konkrit pratuang IBS  di dalam memberikan produk terbaik kepada pelanggan kami.”

 

-Tamat-

MGB REPORTS HIGHEST EVER EARNINGS IN FYE2023