Malaysian Generations Builder
Get A Quote

MGB Records RM227.7 Million Revenue For Q1FYE2025

Download PDF

Prestasi Suku Pertama Kukuh
MGB Catat Hasil RM227.7 Juta


MGB Berhad, anak syarikat kepada LBS Bina Group Berhad, telah mengumumkan laporan kewangan tidak diaudit bagi suku pertama yang berakhir pada 31 Mac 2025, dengan merekodkan jumlah hasil sebanyak RM227.7 juta, iaitu peningkatan sebanyak 4.5% berbanding RM217.9 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Keuntungan sebelum cukai untuk suku pertama ialah RM17.0 juta, manakala keuntungan selepas cukai berjumlah RM12.0 juta.

Pertumbuhan ini didorong oleh prestasi kukuh daripada segmen pembangunan hartanah, khususnya melalui projek utama seperti Idaman Cahaya Fasa 2 dan Idaman Sari. Segmen tersebut mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 30.3% tahun ke tahun kepada RM114.2 juta. Sementara itu, segmen pembinaan dan perdagangan menjana jumlah hasil sebanyak RM192.8 juta, termasuk RM79.3 juta daripada transaksi dalaman antara segmen.

Setakat 31 Mac 2025, MGB mengekalkan kedudukan kewangan yang kukuh dengan baki tunai dan bank berjumlah RM66.9 juta, serta mengekalkan nisbah hutang bersih yang konservatif pada paras 0.1 kali, ini mencerminkan amalan pengurusan kewangan yang berdisiplin dan kedudukan kunci kira-kira yang kukuh. Pendekatan ini memberikan fleksibiliti dalam pengurusan aliran tunai harian serta keupayaan untuk melaksanakan pelaburan strategik tanpa menjejaskan asas kewangan kumpulan.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan MGB Berhad, Tan Sri Dato’ Sri Ir. (Dr.) Lim Hock San berkata:“ MGB kini giat memperkukuh kedudukannya secara strategik dalam sektor perumahan mampu milik, serta pembangunan komersial dan perindustrian. Kumpulan bersikap optimis dengan pendekatan berhati-hati terhadap prospek pembangunan hartanah, disebabkan oleh permintaan berterusan terhadap kediaman berkualiti tinggi dan mampu milik.Bersandarkan momentum positif ini, MGB berada pada landasan betul untuk mencatat pertumbuhan berterusan dengan memanfaatkan kecekapan Sistem Binaan Berindustri (IBS) berasaskan konkrit pratuang, di samping terus menambah baik proses operasi bagi mencapai tahap produktiviti yang optimum.”

“Di peringkat serantau, inisiatif pengembaraan kami , khususnya perkembangan di Arab Saudi mencerminkan kesiapsiagaan MGB untuk meluaskan operasi ke pasaran antarabangsa. Pada Mac lalu, MGB telah berjaya memperoleh pesanan pembelian kedua daripada Sany Alameriah bernilai sekitar RM88.6 juta. Pesanan susulan ini, menjadikan jumlah keseluruhan nilai kontrak meningkat kepada RM207 juta, melibatkan pembinaan sebanyak 726 unit kediaman.”

“Kejayaan menembusi pasaran antarabangsa, ditambah dengan tumpuan berterusan terhadap inovasi dan kecekapan operasi, menggambarkan keberkesanan pendekatan strategik kami. ”

”Usaha bersepadu ini terus mempertingkat keupayaan MGB dalam merebut peluang pasaran, mengekalkan standard kebolehpercayaan dan kecemerlangan, serta memberikan gambaran pendapatan yang lebih jelas dan kukuh untuk masa hadapan.”

Lim Hock San turut menambah bahawa MGB telah mencadangkan dividen akhir sebanyak 1.54 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 2024, menjadikan jumlah keseluruhan dividen tahunan sebanyak 3.06 sen sesaham. Ini selaras dengan komitmen berterusan syarikat untuk memberikan pulangan kepada para pemegang saham, selaras dengan dasar dividen yang menetapkan pengagihan sekurang-kurangnya 30% daripada keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti.

Setakat 30 April 2025, buku pesanan semasa segmen pembinaan dan jualan belum dibil bagi segmen pembangunan hartanah masing-masing berjumlah RM1.2 bilion dan RM584.0 juta. Dengan adanya asas kewangan yang mantap serta pasukan yang berkemahiran tinggi dan fokus kepada inovasi, serta mengintegrasikan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) ke dalam model perniagaan syarikat, ini dijangka akan memacu prestasi MGB dalam suku-suku mendatang, sekaligus memastikan pertumbuhan dan kejayaan yang berterusan.

-Tamat-

MGB Records RM227.7 Million Revenue For Q1FYE2025