STRUKTUR BANGUNAN IDAMAN SARI SELESAI
SELANGOR– MGB Berhad, syarikat pembinaan dan pemaju hartanah serta pengeluar konkrit pratuang di bawah LBS Bina Group Berhad telah mengadakan majlis “topping out” bagi projek Rumah Idaman Sari di Puchong , yang menandakan struktur bangunan teleh berjaya disiapkan.
Pencapaian ini menyusul selepas penyerahan kunci kepada pembeli Idaman Melur pada 3 Julai 2025. Idaman Sari adalah salah satu daripada enam projek di bawah program Rumah Idaman MBI , kerjasama antara MGB dan PNSB Construction Sdn Bhd, anak syarikat Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) di bawah kerajaan negeri Selangor melalui Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan).
Dengan kedudukan strategik di Puchong, Idaman Sari mempunyai 513 unit rumah di atas tanah seluas 6.06 ekar. Projek ini dibina untuk menyediakan gaya hidup selesa dan lestari bagi keluarga di kawasan bandar. Setiap rumah berkeluasan sekurang-kurangnya 1,000 kaki persegi, dilengkapi dengan tiga bilik tidur, dua bilik air, dua petak letak kereta, serta peralatan moden seperti televisyen dengan kabinet, peti sejuk, kabinet dapur, tiga penyaman udara, pemanas air di kedua-dua bilik air, almari pakaian di setiap bilik, dan akses mudah ke pelbagai kemudahan berdekatan. Harga rumah bermula daripada RM250,000.
Idaman Sari adalah projek Rumah Idaman keempat yang mencapai peringkat topping out selepas Idaman BSP, Idaman Melur, dan Idaman Cahaya 1 dan 2. Ini menandakan satu lagi langkah penting MGB dalam menyokong usaha Kerajaan Negeri Selangor di bawah inisiatif Rumah Idaman untuk membina sehingga 30,000 unit rumah berkualiti dan mampu milik di seluruh Selangor. Setakat ini, MGB kekal konsisten dalam menyiapkan projek, bermula dengan penyerahan kunci Idaman BSP pada Ogos 2024 dan penyerahan kunci Idaman Melur pada 3 Julai 2025.
Idaman Sari dibina menggunakan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) pratuang MGB. Kaedah ini menggunakan panel konkrit pratuang yang dihasilkan dengan kawalan kualiti ketat, sekali gus dapat memendekkan tempoh pembinaan sehingga 33%.
Tan Sri Dato’ Sri Ir. (Dr.) Lim Hock San, Pengerusi Eksekutif Kumpulan MGB Berhad yang merasmikan majlis tersebut berkata, “Pencapaian topping out Idaman Sari menunjukkan kemampuan MGB dalam menyediakan rumah mampu milik yang berkualiti untuk rakyat, khususnya di Selangor. MGB komited membina rumah yang lengkap, di lokasi strategik, siap mengikut masa, dan berkualiti tinggi untuk pembeli rumah pertama.”
-TAMAT-
