Malaysian Generations Builder
Get A Quote

MGB Bounces Back In Q4FYE2021

MGB Kembali Catat Pertumbuhan Kukuh Pada Q4FYE2021

  • Keuntungan selepas cukai meningkat 79.20% dari tahun ke tahun
  • 22 projek pembinaan dan pembangunan hartanah yang sedang berjalan

 

SELANGOR, 22 Februari 2022MGB Berhad (“MGB” atau “Kumpulan”) anak syarikat LBS Bina Group Berhad yang terlibat di dalam solusi pembinaan dan pembangunan hartanah, hari ini mengumumkan keputusan suku keempat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (“Q4FYE2021”).

Bagi suku keempat, MGB mencatatkan pendapatan dan keuntungan selepas cukai (“PAT”) masing-masing sebanyak RM188.55 juta dan RM10.34 juta. Berbanding dengan suku tahunan pada tahun 2020, pendapatan telah meningkat 3.84% daripada RM181.57 juta manakala PAT lebih tinggi dengan 79.20% berbanding RM5.77 juta.

Bagi FYE2021, pendapatan Syarikat menunjukkan peningkatan 5.41% tahun ke tahun, daripada RM563.27 juta kepada RM593.76 juta. PAT melonjak 89.43% daripada RM14.00 juta kepada RM26.52 juta. Peningkatan positif ini merupakan sebahagian dari sumbangan projek-projek yang sedang berjalan. Beberapa projek seperti KITA Harmoni, KITA Bayu dan LBS Skylake Residence telah siap sepenuhnya pada FYE2021. Di samping itu, Syarikat turut berjaya menutup dan memuktamadkan akaun projek yang selesai sebelum ini dengan kontraktor utama sekaligus menyumbang kepada keputusan kewangan.

Segmen pembinaan dan perdagangan, merupakan penyumbang terbesar kepada keuntungan MGB, dengan pendapatan yang direkodkan pada FYE2021 sebanyak RM576.95 juta berbanding RM479.14 juta pada FYE2020. Walaupun prestasi MGB sedikit terjejas berikutan perintah kawalan pergerakan oleh Kerajaan, pendapatan MGB secara keseluruhannya meningkat kembali apabila aktiviti pembinaan diberi kebenaran untuk beroperasi sepenuhnya pada Q4FYE2021. Secara amnya, pencapaian kukuh ini dicatat dari keuntungan kasar FYE2021 berikutan daripada beberapa projek yang telah siap, dan yang sedang berjalan di samping melalui piawaian kawalan kos yang ketat, rundingan dan penggunaan Sistem Binaan Berindustri (IBS) MGB yang mengurangkan penggunaan tenaga buruh.

Naib Pengerusi Eksekutif Kumpulan MGB Tan Sri Dato’ Sri Lim Hock San berkata, “Meskipun  berhadapan dengan cabaran pandemik di tahun 2021, MGB telah bersiap sedia sepenuhnya apabila perintah kawalan pergerakan diumumkan. Oleh itu, saya amat gembira dengan pencapaian MGB bagi tahun 2021.

Menurut Tinjauan Ekonomi 2022 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan, ekonomi Malaysia dijangka terus berkembang antara 5.50% hingga 6.50%. Sungguhpun MGB masih di dalam proses pemulihan, dengan keputusan Q4 yang dilihat meningkat berbanding trend penurunan dari Q1 hingga Q3, kami akan terus memantau pencapaian syarikat. Tahun ini merupakan tahun yang terbaik kepada MGB. Menerusi pendekatan Value Added Driven Technology (VadTech), kami berhasrat untuk menyediakan penyelesaian kos yang efektif dan inovatif kepada pelanggan kami. Kami juga telah berjaya membantu pelanggan kami dengan segmen pembinaan yang mesra kos dan sistem IBS yang sangat efisien. Oleh itu, kami turut berharap dapat mengurus dan bertanggungjawab sebagai rakan kongsi kejuruteraan, perolehan dan pembinaan daripada peringkat awal hingga akhir. Pandemik ini telah mengajar kita untuk menyesuaikan diri. Kami akan terus memantau situasi pasaran dan mengubah pendekatan kami mengikut kesesuaian.

Dengan 22 projek yang masih berjalan daripada segmen pembangunan hartanah dan pembinaan, MGB berada pada kedudukan pendapatan yang kukuh untuk menjana pendapatan kira-kira RM4.15 bilion pada tahun akan datang. Ini berdasarkan kepada tempahan sebanyak RM1.90 bilion dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar RM2.15 bilion di bawah segmen pembangunan hartanah. Selain daripada kepesatan pembinaan bagi projek Residensi Bintang Bukit Jalil, Mercu Jalil, Ritma Perdana dan Melodi Perdana di perbandaran LBS Alam Perdana, MGB memberi tumpuan untuk menyediakan 7,210 unit Rumah Selangorku Idaman MBI kepada rakyat Selangor. Pelancaran rumah pertama Rumah Selangorku MBI, Rumah Selangorku Idaman BSP menerima sambutan menggalakkan di mana 1,312 unit ditempah sepenuhnya dalam masa 3 bulan dari pelancarannya. Ini merupakan petunjuk positif yang menggambarkan rakyat percaya kepada kemampuan kami di dalam menyediakan projek perumahan yang lestari. Kami tidak akan menghampakan mereka. MGB yakin bahawa mereka mampu memberikan yang terbaik pada tahun yang akan datang kepada pemegang saham.”

-Tamat-

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:
1. Ng Shu Wain                                                                                     Emel: [email protected]
2. Jabatan Komunikasi Korporat, Media & Digital, LBS             Emel: [email protected]

MGB Bounces Back In Q4FYE2021