Malaysian Generations Builder
Get A Quote

MGB Berhad Inks Tripartite MOU with Saudi Companies

Download PDF

MGB BERHAD METERAI PERJANJIAN PERSEFAHAMAN DENGAN SYARIKAT-SYARIKAT DI ARAB SAUDI

Teroka Potensi Pelaburan di Al Madinah Al Munawwarah, Kerajaan Arab Saudi

SELANGOR, 23 Oktober 2023 – MGB Berhad (“MGB” atau Kumpulan), penyedia solusi perkhidmatan dan pembangunan hartanah serta anak syarikat  LBS Bina Group Berhad, telah memeterai Perjanjian Persefahaman (“MOU”) yang  ditandatangani di antara ‘Almqr Development Co’ (“ALMQR”) dan ‘Alameriah Real Estate Development Company’ (“ALAMERIAH”) pada Sabtu lepas.

ALMQR tertubuh menerusi Titah Diraja dan bertindak sebagai sayap pelaburan bagi Majlis Perbandaran Madinah, dengan matlamat untuk membangunkan bandar moden di samping mewujudkan persekitaran kondusif yang mempertingkatkan gaya hidup. Sementara itu, ALAMERIAH, sebuah syarikat pemaju terkemuka di Arab Saudi, secara khususnya terlibat di dalam aktiviti  pembinaan am, pembangunan hartanah, infrastruktur, pembinaan hartanah bukan kediaman, projek utiliti serta pembuatan produk konkrit pratuang.

Menerusi MOU ini, ALMQR berhasrat untuk melantik ALAMERIAH dan MGB sebagai perunding dalam pembangunan, pembinaan dan reka bentuk, pembuatan konkrit pratuang dan pengurusan projek dengan keupayaan kewangan dan teknikal yang kukuh bagi melaksanakan projek perintis di dalam bidang tersebut. Syarikat ini juga merancang untuk meneroka peluang pelaburan di wilayah Al Madinah Al Munawwarah, Arab Saudi.

Majlis menandatangani MOU telah berlangsung di The Ritz-Carlton Riyadh, Arab Saudi.  Naib Pengerusi Eksekutif MGB, Tan Sri Ir. Lim Hock San telah menandatangani bagi pihak MGB, ALMQR diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, En. Majed bin Mohammad Al Shalhoob, manakala ALAMERIAH diwakili oleh Pengerusinya, En. Bandar Mohammed Al Amre. Detik tersebut turut disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim berserta barisan menteri-menteri kabinet, termasuk Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, dan Menteri Luar Negeri, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, serta Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif MGB, Datuk Richard Lim Lit Chek.

Sebelum berlangsungnya majlis menandatangani MOU tersebut, Tan Sri Ir. Lim dan pengurusan MGB Berhad berpeluang untuk bertemu dengan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, semasa lawatan kerja dua hari beliau di Sidang Kemuncak Pertama ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) di Riyadh.

Naib Pengerusi Eksekutif MGB, Tan Sri Ir. Lim Hock San berkata, “Kami berharap untuk meneroka sinergi yang bakal diperolehi menerusi kerjasama ini. MGB akan menggunakan kepakaran serta pengalamannya di dalam menyediakan perkhidmatan holistik seperti reka bentuk dan pembinaan, pengurusan projek, kepakaran kejuruteraan, pembangunan infrastruktur dan pembangunan hartanah sekali gus mengintai peluang-peluang kolaborasi dengan pihak-pihak lain di bawah MOU ini. Kilang konkrit pratuang kami di Malaysia kini mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 100,000m3 setiap tahun, dan pengalaman MGB memberikan kami kelebihan dalam menjayakan kerjasama ini. Selain itu, MGB kini mengendalikan kilang konkrit pratuang di Jeddah dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 300,000m3 setahun. 

Kami teruja akan jalinan kerjasama bersama syarikat-syarikat terkemuka ini dan ianya menandakan pencapaian penting syarikat di dalam meneroka pasaran Timur Tengah. MGB berupaya untuk menawarkan pelbagai perkhidmatan bagi  pasaran Timur Tengah, dan berbangga kerana diiktiraf sebagai pemain utama dalam penggunaan teknologi pratuang IBS bagi sektor pembangunan hartanah. MGB turut menyasarkan untuk menerima kontrak baru di masa hadapan di samping meningkatkan buku pesanannya, sekali gus berusaha untuk mengukuhkan jenama MGB. Di Malaysia, MGB telah menyiapkan lebih daripada 8,000 unit rumah menggunakan Teknologi Konkrit Pratuang, dan dijangka mencecah 10,000 unit menjelang akhir tahun ini.”

-Tamat-

MGB Berhad Inks Tripartite MOU with Saudi Companies