Malaysian Generations Builder
Get A Quote

MGB Berhad Announces Exciting Venture Expansion Into The Kingdom Of Saudi Arabia

Download PDF

MGB BERHAD UMUM KERJASAMA BAHARU DI ARAB SAUDI

Bagi Kontrak Bekalan Dan Pemasangan Serta Pengendalian Kilang Konkrit Pratuang Di Jeddah, Arab Saudi

SELANGOR, 27 Julai 2023 – MGB Berhad (“MGB” atau “Kumpulan”), subsidiari LBS Bina Group Berhad, penyedia solusi perkhidmatan pembinaan dan pembangunan hartanah, hari ini telah mengumumkan bahawa anak syarikatnya, MGB International for Industry (“MGBI”) telah memeterai perjanjian usaha sama bersama SANY Alameriah Industrial (SA), yang merupakan cawangan kepada SANY Alameriah For Construction Co., Ltd (“JVA”). Perjanjian kerjasama merupakan rentetan daripada Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada 13 Januari 2023 di Riyadh, Arab Saudi (“Kerajaan”). Majlis disaksikan oleh Tuan Yang Terutama Ibrahim Youssef Almubarak, Timbalan Menteri Pelaburan serta Encik Abdulrahman Al-Taweel, Timbalan Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Bandar dan Luar Bandar dan Perumahan bagi Pembekalan Perumahan dan Pembangunan Hartanah.

SA merupakan sebuah syarikat usaha sama yang diperbadankan di antara Kerajaan Arab Saudi dan SANY, syarikat pengeluar peralatan berat kedua terbesar di dunia, manakala Alameriah merupakan pemaju perumahan terkemuka di Arab Saudi. Penglibatan Alameriah tertumpu dalam bidang pembinaan am, pembangunan hartanah, reka bentuk dan binaan serta penghasilan produk-produk konkrit pratuang.

MGBI akan mengendalikan kilang konkrit pratuang SA yang terletak di Al Lith RD, Bandar Perindustrian ketiga Jeddah, Arab Saudi bagi pengeluaran dan pemasangan produk konkrit pratuang untuk memenuhi Kontrak Pembekalan dan Pemasangan (“Kontrak”). Kilang ini mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 810,000m3 untuk 3 tahun. Di bawah terma perjanjian tersebut, SA komited untuk menyediakan dua ratus tujuh puluh ribu meter padu (270,000 m3) produk konkrit pratuang dalam tempoh tiga (3) tahun, dengan jumlah pesanan minimum sebanyak sembilan puluh ribu meter padu (90,000 m3) pada tahun pertama. Kadar pasaran semasa untuk produk konkrit pratuang di Arab Saudi adalah di dalam lingkungan Saudi Riyal (“SAR”) 1,800 sehingga 2,200 setiap m3 .

Ini merupakan projek antarabangsa pertama MGB, dengan masa yang tepat bagi syarikat untuk menembusi pasaran pembangunan hartanah dan sektor perumahan di Arab Saudi. Kerajaan Arab Saudi telahpun melakukan pembaharuan yang ketara, seperti Program Perumahan Saudi yang diperkenalkan pada tahun 2018, selaras dengan Wawasan Kerajaan 2030, dengan matlamat untuk meningkatkan kebolehcapaian terhadap perumahan mampu milik, berkualiti, selamat di lokasi yang baik bagi meningkatkan pemilikan rumah rakyat kepada 70% menjelang tahun 2030. Ini memberikan kelebihan kepada pihak MGB berdasarkan pengalaman mereka di dalam membina perumahan mampu milik secara besar-besaran dan berpotensi untuk memperoleh kontrak-kontrak lain di masa hadapan. MGBI yakin untuk memperluaskan sayapnya di rantau ini, sekaligus sedang membuat persiapan bagi memulakan operasi perniagaannya di sana.

Pengerusi Eksekutif LBS Tan Sri Ir. Lim Hock San berkata, “Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kami telah melakukan pelbagai inovasi dan memperhalusi lagi cara pengeluaran produk konkrit pratuang IBS dan berhasrat untuk mengembangkan perniagaan dalam pembinaan dan perniagaan pembuatan konkrit pratuang di peringkat antarabangsa. Oleh itu, kami teruja akan perkembangan operasi ke Arab Saudi. Setakat ini, kerjasama kami dengan Kumpulan SANY di Malaysia untuk pembuatan produk konkrit pratuang IBS telah membuahkan hasil dan kami optimis untuk mengukuhkan usaha sama dengan kerajaan Arab Saudi. Kami amat berterima kasih kepada Kumpulan SANY di atas kepercayaan dan keyakinan mereka terhadap syarikat.”

Di Malaysia, MGB telah menyiapkan lebih daripada 6,000 unit rumah dan tambahan 4,000 unit rumah menggunakan teknologi IBS sejak tahun 2018.  Ini akan menambahkan lagi portfolio sedia ada sebagai pengeluar produk konkrit pratuang IBS yang berpengalaman dan kontraktor utama yang mempunyai kepakaran khusus di dalam pembinaan perumahan mampu milik.

-Tamat –

MGB Berhad Announces Exciting Venture Expansion Into The Kingdom Of Saudi Arabia