MGB Berhad Jalin Kerjasama Strategik dengan Doka untuk Perkukuh Teknologi IBS
SELANGOR, 23 Julai 2025 –MGB Berhad (“MGB” atau “Kumpulan”) , anak syarikat kepada LBS Bina Group Berhad, telah menandatangani Memorandum Kolaborasi (“MoC”) strategik dengan Doka Formwork Malaysia Sdn Bhd (“Doka”), yang merupakan sebahagian daripada Doka GmbH , sebuah syarikat global terkemuka dalam sistem acuan konkrit, perancah dan kejuruteraan pembinaan.
Dalam lawatan kerja ke ibu pejabat Doka di Austria baru-baru ini, delegasi MGB telah disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Doka GmbH, Encik Robert Hauser. Melalui kerjasama ini, kedua-dua pihak akan membangunkan penyelesaian kejuruteraan baharu dan inovatif bagi projek-projek yang menggunakan teknologi konkrit pratuang Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang dilaksanakan oleh MGB.
Kepakaran Doka dalam menyediakan sistem acuan konkrit dan perancah yang optimum serta sokongan teknikal untuk elemen konkrit tuang di tapak (cast in-situ) akan memainkan peranan penting dalam melengkapi teknologi konkrit pratuang IBS MGB yang terbukti cekap dan berkualiti dalam pembinaan perumahan berskala besar. Kerjasama ini membolehkan kedua-dua pihak menambah baik teknologi sedia ada, dengan mengintegrasikan elemen konkrit pratuang seperti panel bersama penyelesaian acuan dan perancah secara menyeluruh.
Selain itu, MGB dan Doka turut berhasrat untuk meneroka peluang baharu, menyelaraskan strategi teknikal dan melaksanakan pendekatan pembinaan yang lebih inovatif dan berdaya saing. Kolaborasi ini juga sejajar dengan usaha berterusan MGB dalam mendigitalkan dan mengoptimumkan proses pembinaan, seiring dengan transformasi industri pembinaan negara ke arah yang lebih moden dan mampan.
Melalui teknologi IBS, MGB telah berjaya mengawal penggunaan bahan, mengurangkan pembaziran dan mempercepatkan tempoh pembinaan. Selaras dengan komitmen terhadap prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), MGB juga memberi penekanan kepada pembangunan kemahiran pekerja dalam bidang automasi, reka bentuk dan pembuatan, serta pengurangan jejak karbon menerusi amalan yang lebih lestari.
Majlis menandatangani MoC ini telah disertai oleh barisan kepimpinan utama kedua-dua pihak. MGB diwakili oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Dato’ Sri Ir. (Dr.) Lim Hock San, serta Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Lim Lit Chek. Doka pula diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Doka GmbH, Encik Robert Hauser, dan Pengurus Negara Doka Malaysia, Encik Teh Aun Kua.
Mengulas mengenai kerjasama ini, Tan Sri Lim Hock San berkata:
“Dengan bekerjasama bersama peneraju global seperti Doka, kami bukan sahaja dapat meningkatkan mutu dan kecekapan projek kami di Malaysia dan Arab Saudi, malah dapat memperkukuh komitmen kami terhadap inovasi, kelestarian dan kecemerlangan bertaraf antarabangsa. Kami yakin kerjasama ini akan membawa hasil projek yang lebih baik serta memberi nilai jangka panjang kepada semua pihak berkepentingan.”
-Tamat-
