Malaysian Generations Builder
Get A Quote

LBS And MGB Take The lead In Renewable Energy Through A Strategic Partnership With MGTC

Download PDF

LBS DAN MGB TERAJUI BIDANG TENAGA BOLEH DIPERBAHARUI MELALUI PERKONGSIAN STRATEGIK BERSAMA MGTC

____________________________________________________________

SELANGOR, 6 Oktober 2023 – LBS Bina Group Berhad (“LBS”), pemaju perumahan terkemuka dan subsidiarinya, MGB Berhad (“MGB”) (secara kolektif dikenali sebagai “Kumpulan”), penyedia solusi perkhidmatan dan pembangunan hartanah, hari ini mengumumkan kerjasama strategik dengan Malaysia Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC), agensi di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang diberi mandat untuk memacu inisiatif Pertumbuhan Hijau, Mitigasi Perubahan Iklim dan Gaya Hidup Hijau negara. 

Kolaborasi ini mewujudkan satu konsortium yang terdiri daripada LBS, MGB, Midwest Green Sdn Bhd (“MWG”) dan MGTC, dengan matlamat utama untuk merevolusikan landskap tenaga solar di samping mengintegrasikan teknologi hijau canggih ke dalam evolusi ladang solar yang merangkumi teknologi Pengawalan Penyimpanan Karbon (CCS), pertanian dan penuaian air. Konsortium ini mewakili kepentingan untuk meningkatkan penggunaan bidang tenaga boleh diperbaharui sekali gus mempromosikan pembangunan program solar berskala besar yang berinovatif.

Majlis pertukaran dokumen Surat Minat (“LOI”) itu telah berlangsung di Persidangan dan Pameran Teknologi Hijau serta Produk Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2023, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Ir. Sri Lim Hock San  mewakili LBS, manakala MGB diwakili oleh Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Wira Joey Lim Hock Guan.  MGTC diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Ts Shamsul Bahar Mohd Nor dan Pengarah-Pengarah MWG, Dato’ Alvin Lam Lip Shyan dan Datuk Edward Chew Chun Hoe. Majlis pertukaran dokumen LOI tersebut turut disaksikan oleh  YB Dato’ Sri Huang Tiong Sii, Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim diiringi oleh Pengarah Urusan Kumpulan Solarvest Holdings Berhad, Encik Lim Chin Siu serta Ketua Pengarah Utiliti Komersialnya, Encik Windsor Khor Thiam Seng.

Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Ir. Lim Hock San, merangkap Naib Pengerusi Eksekutif MGB mengulas, “Kami amat teruja dengan kerjasama bersama MGTC di dalam era baru kelestarian tenaga boleh diperbaharui ini. Menerusi kolaborasi ini, Kumpulan kami dapat memperkukuhkan kepakaran di samping berpeluang untuk mempelopori sektor ladang tenaga solar. Gandingan ini bakal merealisasikan masa depan berteknologi tenaga boleh diperbaharui yang lebih mesra alam. Komitmen kami yang tidak berbelah bahagi terhadap pembangunan mampan dan bersepadu serta tanggungjawab terhadap alam sekitar merupakan kekuatan utama kami dalam usaha ini.”

Pemilihan Solarvest Holdings Bhd (“solarvest”) sebagai Kontraktor Kejuruteraan, Perolehan dan Pembinaan (“EPC”) kami, selaras dengan hasrat konsortium yang bercita-cita tinggi untuk melaksanakan program ini di dalam skala yang besar dan direka untuk mentakrifkan semula piawaian industri di samping menawarkan pelan hala tuju yang lebih hijau dan mampan.

“Kerjasama ini mewakili komitmen Kumpulan untuk memacu perjalanan organisasi bagi mencapai matlamat Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan meningkatkan usaha kemampanan sekali gus membantu menempatkan kami sejajar dengan rangka kerja Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Kerajaan Malaysia. Inilah usaha kami bagi membina asas untuk Malaysia yang lebih hijau dan mampan bagi generasi akan datang,” tambah Tan Sri Ir. Lim Hock San.

-Tamat-

LBS And MGB Take The lead In Renewable Energy Through A Strategic Partnership With MGTC