PEMBINAAN rumah mampu milik untuk masyarakat sentiasa menjadi objektif LBS Bina Group Berhad. (LBS) selama 30 tahun dalam sektor hartanah negara.
Komitmen itu diperkukuhkan lagi menerusi anak syarikatnya MGB Berhad (MGB) dengan memperkenalkan Rumah Idaman bagi menyokong matlamat kerajaan Negeri Selangor untuk menyediakan sejumlah 30,000 unit rumah mampu milik menjelang 2025.
Rumah Idaman ditawarkan kepada pembeli rumah pertama bagi rakyat Selangor. Rumah mampu milik yang terletak di lokasi yang strategik disediakan khususnya bagi rakyat berpendapatan rendah iaitu B40 dan sederhana, M40.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Ir. Lim Hock San berkata, projek Rumah Idaman terletak di beberapa kawasan sekitar Selangor melibatkan jumlah keseluruhan 7,416 unit dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2.1 bilion.
Katanya, projek tersebut adalah Idaman BSP di Bandar Saujana Putra, Idaman Perdana (Bandar Puncak Alam), Idaman Cahaya (Shah Alam), Idaman Sari (Puchong), Idaman Melur (Cybersouth) dan Idaman KITA (Cybersouth).
“Projek pertama iaitu Idaman BSP sudah terjual sepenuhnya melibatkan 1,312 unit dan dijangka siap pada Jun tahun depan. Sementara itu, fasa satu dan dua bagi Idaman Cahaya juga telah habis dijual dan kini kami sedang menunggu kelulusan untuk fasa ketiga.
“Dalam pada itu, Idaman Cahaya Fasa 3 pula dijangka akan dilancarkan pada suku ketiga atau keempat tahun depan. Kami menjangkakan semua projek Rumah Idaman ini akan dilancarkan dan siap menjelang 2025,” katanya ketika ditemui di LBS Office Suite, di sini baru-baru ini.
Beliau yang juga Naib Pengerusi Eksekutif MGB turut memberitahu, pembangunan pangsapuri bertingkat itu dijual pada harga bermula daripada RM250,000 dan didatangkan dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air dengan saiz binaan 1,000 kaki persegi.
Tambahnya, setiap unit juga dilengkapi dengan dua tempat letak kereta serta perabot dan peralatan rumah seperti penghawa dingin, televisyen, kabinet televisyen, kabinet dapur dan pemanas air.
Hock San berkata, pihaknya mampu membina kediaman pada harga mampu milik sambil mengekalkan kualiti pembinaan yang setara dengan projek lain adalah melalui sistem konkrit pratuang (IBS) seperti yang digunakan di kebanyakan projek-projek lain di bawah naungan MGB.
“Dengan menggunakan sistem IBS, kualiti pembinaan dapat dikekalkan dengan menggunakan teknologi pembuatan yang maju untuk menghasilkan panel dan produk konkrit pratuang yang konsisten dan berkualiti. Pemantauan berkala juga dapat dilakukan lebih-lebih lagi produk konkrit pratuang ini dihasilkan di kilang IBS milik MGB Sany, anak syarikat MGB Berhad berpengkalan di Nilai.
“Secara ringkasnya, penggunaan sistem IBS di dalam sektor perumahan banyak membantu dalam mengurangkan kos pembinaan dan membantu membina rumah yang berkualiti dan siap tepat pada masanya.
“Berdasarkan pengalaman lalu, kami dapat menjimatkan kira-kira 33 peratus masa pembinaan dan penjimatan sebanyak 49 peratus kos buruh keseluruhannya,” jelasnya.
Tambah beliau, kerjasama daripada kerajaan negeri dari segi memudahkan proses mendapatkan kelulusan dan menyediakan tanah yang sesuai untuk pembinaan juga membantu syarikat untuk menawarkan rumah mampu milik kepada rakyat.
“Kami boleh menawarkan harga yang berpatutan dan dalam masa yang sama, pemaju juga tidak menanggung kerugian,” katanya. – UTUSAN
Disiarkan oleh Nur Nazlina Nadzari dari Utusan pada: Ogos 7, 2023 @ 8:08am