Pahang, 21 September 2026 – MGB Berhad (“MGB” atau “Kumpulan”), syarikat pembinaan, pembangunan hartanah dan pengeluar Sistem Binaan Berindustri (IBS) konkrit pratuang serta anak syarikat LBS Bina Group Berhad, hari ini melancarkan StarLight Residences, sekali gus menandakan projek pembangunan hartanah pertama Kumpulan di Cameron Highlands serta pembangunan pertama Kumpulan di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.
Majlis pelancaran tersebut telah diadakan di Galeri Jualan StarLight Residences di Cameron Highlands dan dirasmikan oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan MGB Berhad, Tan Sri Dato’ Sri Ir (Dr) Lim Hock San. Turut hadir ialah Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif MGB Berhad, Datuk Richard Lim; Pengarah Eksekutif dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Encik Isaac Lim; serta Timbalan-Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Encik Victor Wong dan Encik Daniel Chew.
Dengan Anggaran Nilai Pembangunan Kasar (“GDV”) sebanyak RM129.9 juta, StarLight Residences merupakan pembangunan berketumpatan rendah yang terletak di atas tanah seluas kira-kira 1.88 ekar, merangkumi 270 unit pangsapuri servis dan dua unit ruang runcit.
Terletak secara strategik bersebelahan Pasar Malam Cameron Highlands serta berhampiran Padang Golf Cameron Highlands, StarLight Residences terletak di lokasi yang strategik di Cameron Highlands, destinasi tanah tinggi pilihan ramai. Pembangunan ini juga terletak berhampiran pelbagai tarikan popular, termasuk Pusat BOH Tea , Taman Lavender, Cameron Centrum Mall serta destinasi popular lain di Cameron Highlands.
StarLight Residences menampilkan susun atur dwi-kunci (dual-key) yang menawarkan fleksibiliti kediaman serta potensi pelaburan yang lebih tinggi.
Pangsapuri servis ditawarkan dalam tiga jenis unit, dengan keluasan antara 550 kaki persegi hingga 938 kaki persegi, dan harga jualan bermula daripada RM398,000. Dua unit ruang runcit pula masing-masing berkeluasan 1,561 kaki persegi dan 1,755 kaki persegi, dengan harga jualan bermula daripada RM1.14 juta.
Direka untuk melengkapi gaya hidup serta daya tarikan percutian Cameron Highlands, StarLight Residences menawarkan pelbagai kemudahan termasuk Taman Starlight (Starlight Garden), Pavilion Senja (Twilight Pavilion), Rumah Kaca Senja (Twilight Glass House), Dek Pencerapan Bintang (Stargazing Deck), kawasan barbeku (BBQ), Dek Yoga (Yoga Deck), Starlight Fit dan taman permainan. StarLight Residences dijangka siap sepenuhnya pada Julai 2029.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan MGB Berhad, Tan Sri Dato’ Sri Ir Dr Lim Hock San berkata, “StarLight Residences merupakan pembangunan pertama MGB di Cameron Highlands dan menjadi satu lagi langkah hadapan dalam usaha kami untuk memperluaskan portfolio pembangunan hartanah Kumpulan.
Cameron Highlands merupakan salah satu destinasi pelancongan tanah tinggi Malaysia yang terkenal dengan iklimnya yang nyaman, persekitaran semula jadi yang indah serta daya tarikan sepanjang tahun. StarLight Residences akan membawa konsep sebuah pembangunan yang menggabungkan lokasi strategik, susun atur unit yang praktikal serta kemudahan gaya hidup yang melengkapi keunikan persekitaran tanah tinggi ini.
Seiring dengan usaha MGB untuk terus mengembangkan portfolio pembangunan hartanahnya, kami kekal fokus dalam mengenal pasti peluang di lokasi-lokasi strategik serta melaksanakan pembangunan yang dirancang dengan baik bagi memenuhi permintaan pemilik rumah, di samping mewujudkan nilai mampan untuk pembeli, pihak berkepentingan dan komuniti setempat.”
-TAMAT-