Selangor, 18 Ogos 2026 – MGB Berhad (“MGB” atau “Kumpulan”), syarikat pembinaan, pembangunan hartanah dan pengeluar Sistem Binaan Berindustri (IBS) konkrit pratuang serta anak syarikat LBS Bina Group Berhad, hari ini mengumumkan laporan kewangan tidak diaudit bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026 (“S2 TK2026”).
Bagi S2 TK2026, kumpulan mencatatkan hasil sebanyak RM201.7 juta, berbanding RM216.4 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya. Hasil tahun ke tahun (“YoY”) dicatat sederhana berikutan sumbangan yang lebih rendah daripada segmen pembangunan hartanah susulan penyiapan dan serahan milikan kosong bagi beberapa projek pembangunan. Hasil daripada segmen pembinaan dan perdagangan kekal relatif stabil YoY dengan sumbangan domestik yang lebih rendah daripada beberapa projek telah siap, manakala projek-projek baharu masih berada pada peringkat awal pelaksanaan. Keadaan ini diimbangi oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada projek-projek luar negara. Walaupun hasil lebih rendah, Kumpulan berjaya mencatatkan peningkatan 12% YoY dalam keuntungan selepas cukai dan kepentingan minority (“PATAMI”) kepada RM13.3 juta, disokong oleh pengoptimuman kos yang berkesan, pelaksanaan projek yang berdisiplin serta margin yang bertambah baik merentasi kedua-dua segmen perniagaan.
Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, hasil kumpulan berada pada RM411.8 juta, manakala PATAMI meningkat 16% YoY kepada RM27.5 juta, membukitikan daya tahan pendapatan Kumpulan meskipun berdepan kesan pengiktirafan hasil.
Mengulas mengenai keputusan tersebut, Tan Sri Dato’ Sri Ir. (Dr.) Lim Hock San, Pengerusi Eksekutif Kumpulan MGB berkata, “Prestasi suku kedua kami mencerminkan keteguhan model perniagaan kumpulan serta keberkesanan pelaksanaan berdisiplin kami. Walaupun hasil sederhana pada suku ini, pelaksanaan berdisiplin, kecekapan operasi serta pengurusan kos berhemah telah membolehkan kami mencapai margin yang lebih kukuh dan keuntungan yang lebih baik.

Di segmen pembinaan dan perdagangan, MGB kekal fokus untuk mengukuhkan kedudukan di Malaysia, di samping mengembangkan kehadiran kami di Kerajaan Arab Saudi (“KSA”). Ketika usaha berterusan untuk mendapatkan projek berkualiti dalam pasaran domestik, prospek sektor pembinaan KSA yang kukuh menawarkan peluang menarik untuk kami memperluaskan lagi kehadiran di sana. Setelah berjaya membina reputasi sebagai kontraktor utama yang dipercayai, kami berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang ini sekali gus memperluaskan buku pesanan antarabangsa kami. Perkara ini terbukti melalui penganugerahan kontrak utama kedua baru-baru ini bernilai RM44.7 juta secara terus daripada ROSHN Group Company, salah sebuah pemaju hartanah nasional terkemuka di Arab Saudi. Pemberian kontrak berulang ini menjadi satu lagi detik penting dalam strategi perluasan rantau kami, menandakan keyakinan ROSHN terhadap kebolehan kami serta mengukuhkan kedudukan kami sebagai rakan pelaksana yang dipercayai dalam pasaran Arab Saudi. Setakat 30 Jun 2026, buku pesanan pembinaan domestik kumpulan berjumlah RM1.68 bilion, memberikan keterlihatan pendapatan yang kukuh serta asas yang mantap untuk pertumbuhan berterusan.
Dalam segmen pembangunan hartanah, kami berjaya melancarkan Projek Idaman Cahaya Fasa 3 pada suku ini, dengan anggaran nilai pembangunan kasar (“GDV”) sebanyak RM117.4 juta. Projek ini mencatatkan kadar pengambilan yang memberangsangkan sejurus dilancarkan, mencerminkan permintaan yang berterusan terhadap pembangunan kami. Bersama-sama dengan projek-projek lain kami yang sedang dijalankan, jualan belum dibil Kumpulan berada pada RM0.29 bilion, memberikan keterlihatan pendapatan yang sihat pada masa akan datang. Pembangunan hartanah kekal sebagai teras pertumbuhan utama Kumpulan. Dalam tempoh TK2026 hingga TK2028, kami merancang untuk melancarkan pembangunan baharu dengan jumlah GDV sebanyak RM2.7 bilion, seterusnya memperkukuh saluran pembangunan kami dan menyokong pertumbuhan pendapatan yang mampan. Disokong oleh rangkaian projek pembangunan kukuh untuk dilancarkan serta pelaksanaan yang berdisiplin, kami menjangkakan angka jualan belum dibil akan terus berkembang secara berperingkat, sekali gus meningkatkan keterlihatan pendapatan serta menyokong pertumbuhan dan prestasi masa hadapan segmen ini.”
-TAMAT-