Selangor, 6 Ogos 2026 – MGB Berhad, (“MGB” atau “Kumpulan”), syarikat pembinaan dan pemaju hartanah serta pengeluar Sistem Binaan Berindustri (IBS) konkrit pratuang di bawah LBS Bina Group Berhad, telah mengadakan majlis “roof topping” bagi projek Pangsapuri Saujana Indah di Molek, Johor Bahru, sekali gus menandakan struktur utama bangunan projek berkenaan telah berjaya disiapkan.
Pangsapuri Saujana Indah terdiri daripada dua menara kediaman setinggi 37 tingkat, secara keseluruhannya menawarkan 988 unit kediaman. Menara A terdiri daripada 393 unit, manakala Menara B merangkumi 595 unit. Pembangunan ini berkeluasan binaan antara 590 kaki persegi hingga 863 kaki persegi, dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM437 juta. Ianya merupakan projek bertingkat tinggi pertama MGB di negeri Johor serta projek sulung di Johor Bahru.
Direka untuk menyokong keperluan gaya hidup bandar moden, Pangsapuri Saujana Indah menawarkan pelbagai kemudahan gaya hidup, rekreasi dan komuniti, termasuk kolam renang, taman permainan kanak-kanak, dewan serbaguna, surau, stesen BBQ, zon kecergasan dan gimnasium. Pembangunan ini turut menampilkan taman rekreasi luar dengan trek larian terbuka.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan MGB Berhad, Tan Sri Dato’ Sri Ir. (Dr.) Lim Hock San, berkata kemuncak pencapaian “roof topping” ini mencerminkan komitmen, disiplin dan kerjasama erat yang ditunjukkan oleh pasukan projek dan semua pihak berkepentingan yang terlibat dalam pembangunan ini.

“Penyempurnaan kerja-kerja struktur utama ini merupakan satu pencapaian penting dan menandakan bahawa kami semakin hampir untuk menyerahkan rumah yang telah kami janjikan kepada pembeli. Kejayaan ini turut mencerminkan dedikasi, koordinasi dan profesionalisme pasukan projek , perunding, kontraktor, pembekal dan rakan perniagaan kami.
Sejak dilancarkan pada tahun 2023, Pangsapuri Saujana Indah menerima sambutan positif daripada pembeli dengan kesemua 988 unit telah habis dijual. Perkembangan ini mencerminkan keyakinan pasaran terhadap lokasi strategik, reka bentuk praktikal, kemudahan komprehensif serta nilai keseluruhan yang ditawarkan oleh pembangunan ini.
Keutamaan kami kekal tertumpu kepada usaha untuk mengekalkan standard kualiti, keselamatan dan mutu kerja yang tinggi. MGB komited untuk memastikan baki kerja dilaksanakan secara cekap dan bertanggungjawab, dengan matlamat mencapai penyiapan projek yang lancar serta mengikut jadual.”
–TAMAT–