Selangor, 21 Julai 2026 – MGB Berhad, (“MGB” atau “Kumpulan”), syarikat pembinaan dan pemaju hartanah serta pengeluar Sistem Binaan Berindustri (IBS) konkrit pratuang di bawah LBS Bina Group Berhad, mengumumkan bahawa anak syarikat tidak langsung milik penuhnya, MGB International For Industry (“MGBI”), telah meraih satu lagi penganugerahan kontrak secara terus daripada Kumpulan Syarikat ROSHN (“ROSHN”) bagi kerja-kerja mekanikal, elektrikal dan perpaipan (“MEP”) serta kerja-kerja kemasan untuk projek pembangunan Marafy Al Arous di Jeddah, Kerajaan Arab Saudi (“KSA”), sekali gus mengukuhkan lagi kehadirannya yang semakin berkembang di pasaran pembinaan terbesar di Timur Tengah.
Kontrak tersebut bernilai kira-kira SAR41.02 juta, bersamaan kira-kira RM44.67 juta. Skop kerja merangkumi kerja-kerja MEP dan kemasan bagi 75 unit vila di kawasan pembangunan Marafy Al Arous. Tempoh siap adalah selama 10 bulan, melibatkan kerja-kerja mobilisasi, pembangunan kejuruteraan, pembinaan, ujian dan pentauliahan, serta penyerahan akhir.
Penganugerahan baharu ini susulan kontrak terdahulu MGBI daripada penganugerahan terus ROSHN bagi kerja-kerja pembinaan dan kejuruteraan untuk 75 unit vila di bawah projek Marafy Al Arous. Kontrak sebelum ini bernilai kira-kira SAR32.98 juta, bersamaan kira-kira RM35.91 juta. Dengan penambahan kontrak baharu ini, jumlah keseluruhan nilai kontrak MGBI berkaitan Projek Marafy Al Arous 75 Vila telah meningkat kepada kira-kira SAR74.00 juta, bersamaan kira-kira RM80.59 juta. Pencapaian ini memberikan suntikan keyakinan kepada Divisyen Antarabangsa MGB terhadap keupayaannya untuk terus memperoleh projek secara konsisten di Kerajaan Arab Saudi (“KSA”) dan mencerminkan keyakinan berterusan ROSHN terhadap keupayaan MGBI dalam melaksanakan projek dengan cemerlang.
Yang penting, kontrak terbaharu ini mengukuhkan lagi strategi pengembangan MGB di KSA. Sejak memulakan operasi pada tahun 2023 menerusi penglibatan dalam pembuatan dan pembekalan produk konkrit pratuang IBS serta perkhidmatan pemasangan, MGB terus memperkukuhkan kehadirannya secara progresif dalam sektor pembinaan KSA. Syarikat kini bersedia untuk memperoleh projek pembinaan yang lebih besar dan pada masa yang sama meneroka peluang pembangunan hartanah di lokasi-lokasi terpilih.
Mengulas mengenai penganugerahan ini, Tan Sri Dato’ Sri Ir. (Dr.) Lim Hock San, Pengerusi Eksekutif Kumpulan MGB Berhad berkata :
“Penganugerahan terbaharu daripada ROSHN ini merupakan satu langkah penting dalam perkembangan MGB di Arab Saudi. Kehadiran kami di Arab Saudi bermula dengan memanfaatkan kepakaran kami dalam pembuatan, pembekalan dan pemasangan produk konkrit pratuang IBS. Kini, kami telah berupaya melaksanakan projek sebagai kontraktor utama. Perkembangan ini mencerminkan kepercayaan yang diberikan terhadap keupayaan teknikal, kecemerlangan pelaksanaan serta komitmen kami terhadap kualiti.
Kami ingin merakamkan penghargaan kepada Kumpulan Syarikat ROSHN atas keyakinan berterusan yang diberikan kepada MGBI. Lebih penting lagi, penganugerahan ini menunjukkan keupayaan kami untuk bergerak lebih tinggi dalam rantaian nilai pembinaan dan menyertai skop kerja yang lebih luas dalam landskap pembangunan Arab Saudi yang berkembang pesat.
Kerajaan Arab Saudi kekal sebagai pasaran utama dalam strategi pengembangan antarabangsa MGB. Kami komited untuk terus memperkukuhkan kehadiran kami di negara ini, mengukuhkan kerjasama dengan rakan-rakan tempatan, serta menyumbang kepada pembangunan komuniti kediaman berkualiti selaras dengan aspirasi Visi 2030 Arab Saudi.”
-TAMAT-