Selangor, 29 Jun 2026 – MGB Berhad (“MGB” atau “Kumpulan”), penyedia penyelesaian pembinaan dan pembangunan hartanah serta anak syarikat LBS Bina Group Berhad, telah mengisytiharkan dividen akhir satu peringkat sebanyak 1.31 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (“TK2025”), sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan dividen bagi TK2025 kepada  2.57 sen sesaham. 

Dividen TK2025 mencatatkan pembayaran dividen kedua tertinggi MGB dalam tempoh empat tahun, mencerminkan komitmen berterusan Kumpulan untuk ganjaran kepada para pemegang saham. Sejak TK2022, dividen sesaham MGB telah meningkat lebih lima kali ganda daripada 0.50 sen kepada 2.57 sen, manakala nisbah pembayaran dividennya telah meningkat daripada 20% kepada 30%, sekaligus menunjukkan keupayaan dan kesediaan Kumpulan untuk mengembalikan nilai kepada pemegang saham. Jumlah dividen  bagi TK2025 ini bersamaan dengan nisbah pembayaran dividen sebanyak 30%, selaras dengan dasar pembayaran dividen MGB yang menetapkan pengagihan sekurang-kurangnya 30% daripada keuntungan tahunan yang boleh diagihkan kepada para pemegang saham. 

Jadual 1: Rekod Dividen Sejak TK 2022 

 
Tahun Kewangan 
 
TK2022 
 
TK2023 
 
TK2024 
 
TK2025 
Dividen Sesaham (sen) 0.50 1.63 3.06 2.57 
Nisbah Pembayaran Dividen (%) 20% 20% 30% 30% 

 
Yang penting, MGB telah berjaya mencapai tahap pulangan lebih tinggi kepada pemegang saham sambil mengekalkan kedudukan kewangan yang kukuh. Berdasarkan kedudukan kewangan terkini yang diumumkan setakat 31 Mac 2026, Kumpulan merekodkan aset bersih sesaham sebanyak RM1.08 serta nisbah gearing bersih yang rendah, iaitu hanya 0.12 kali, sekali gus menyediakan fleksibiliti kewangan yang mencukupi untuk menyokong pelaksanaan projek sedia ada, meneroka peluang projek berskala lebih besar serta membiayai inisiatif pertumbuhan masa hadapan. 

Dividen akhir tersebut telah diluluskan oleh para pemegang saham pada Mesyuarat Agung Tahunan yang diadakan pada 19 Jun 2026 dan akan dibayar pada 5 Ogos 2026 kepada pemegang saham yang namanya tersenarai dalam Rekod Pendeposit pada 15 Julai 2026. Tarikh ex-dividen adalah pada 14 Julai 2026. 

Mengulas mengenai dividen dan prospek Kumpulan, Tan Sri Dato’ Sri Ir. (Dr.) Lim Hock San, Pengerusi Eksekutif Kumpulan MGB berkata:  

“Rekod pembayaran dividen MGB sepanjang beberapa tahun kewangan lalu mencerminkan komitmen kami untuk memberikan nilai yang mampan kepada para pemegang saham. Memandangkan MGB terus meneroka peluang berskala lebih besar di dalam dan luar negara, termasuk projek-projek di Arab Saudi, adalah penting bagi kami untuk mengekalkan sumber kewangan yang mencukupi bagi menyokong pelaksanaan projek, keperluan modal kerja dan pengembangan perniagaan pada masa hadapan. 

“MGB melangkah ke TK2026 dengan keterlihatan pendapatan yang lebih kukuh hasil kejayaan penambahan buku pesanannya. Sepanjang TK2025, Kumpulan berjaya memperoleh kontrak baharu bernilai lebih daripada RM1.0 bilion, termasuk projek bernilai kira-kira RM532.6 juta di Arab Saudi. Kejayaan meraih kontrak ini bukan sahaja mengukuhkan keterlihatan hasil Kumpulan, malah meletakkan MGB pada kedudukan yang lebih baik untuk merebut peluang projek berskala lebih besar di pasaran domestik dan antarabangsa. Seiring dengan langkah ke hadapan, kami kekal komited untuk melaksanakan projek secara cekap, meningkatkan prestasi operasi serta meneroka peluang strategik yang mampu mengukuhkan pendapatan dan menyokong pulangan yang mampan kepada para pemegang saham.” 

Dengan kedudukan kewangan yang kukuh, buku pesanan yang semakin berkembang serta kehadiran yang semakin meluas di peringkat tempatan dan serantau, MGB sedang membina asas yang kukuh untuk pertumbuhan masa depan, sekali gus meletakkan Kumpulan pada kedudukan yang baik untuk memperoleh projek yang lebih besar, meningkatkan profil pendapatan dan memberikan nilai yang lebih tinggi kepada para pemegang saham dari semasa ke semasa. 

-Tamat-