Selangor, 15 April 2026 – MGB Berhad, (“MGB” atau “Kumpulan”), syarikat pembinaan dan pemaju hartanah serta pengeluar Sistem Binaan Berindustri (IBS) konkrit pratuang di bawah LBS Bina Group Berhad, mengumumkan bahawa anak syarikat tidak langsung yang dimiliki sepenuhnya, MGB International For Industry (“MGBI”), telah menerima surat anugerah (“LA”) daripada Kumpulan Syarikat ROSHN bagi kerja-kerja pembinaan dan kejuruteraan untuk projek Marafy Al Arous di Jeddah, Kerajaan Arab Saudi (“KSA”) . 

Penganugerahan ini turut mencerminkan hubungan yang semakin kukuh antara MGB dan Kumpulan Syarikat ROSHN, pemaju hartanah nasional terkemuka Arab Saudi serta penyumbang utama kepada Visi 2030 Arab Saudi melalui pembangunan komuniti bersepadu berskala besar merentasi seluruh negara. Kumpulan Syarikat ROSHN merupakan entiti milik penuh Dana Pelaburan Awam (“PIF”), salah satu dana kekayaan berdaulat terbesar di dunia dengan aset melebihi USD700 bilion. 

Kontrak tersebut bernilai kira-kira SAR32.98 juta, bersamaan RM34.76 juta. Skop kerja merangkumi penyiapan struktur atas bagi 75 unit vila, termasuk kerja-kerja penyediaan tapak, kerja sementara, kerja substruktur dan superstruktur. Projek ini akan bermula pada April 2026 dan dijadualkan siap dalam tempoh lapan bulan.  
 
Ini menandakan projek kedua MGB di Arab Saudi sebagai kontraktor utama dan penganugerahan pertamanya daripada Kumpulan Syarikat ROSHN, sekali gus mengukuhkan lagi kehadiran Kumpulan dalam sektor pembinaan di KSA. Lebih penting lagi, ia merupakan satu lagi pencapaian penting dalam strategi pertumbuhan antarabangsa MGB di rantau Timur Tengah. 

Sebelum ini, MGB telah memperoleh kontrak utama pertamanya di Arab Saudi pada November 2025 daripada Beetah Real Estate Company bagi kerja-kerja kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (“EPC”) untuk pembangunan kediaman dan komersial di Al Madinah Al Munawwarah, Madinah, bernilai kira-kira SAR400 juta, bersamaan RM444 juta. Jumlah keseluruhan nilai kontrak yang diperoleh di KSA setakat ini adalah sebanyak SAR613.3 juta.  

KOMITMEN JANGKA PANJANG MGB DI ARAB SAUDI 

Kehadiran MGB di Arab Saudi berasaskan kepada strategi jangka panjang selaras dengan perkembangan sektor pembinaan dan perumahan negara tersebut di bawah Visi 2030 Arab Saudi. Pada tahun 2023, MGB telah menyertai usaha sama untuk mengendalikan sebuah kilang pembuatan konkrit pratuang IBS di Jeddah. Pada tahun 2024 hingga 2025, MGB secara berperingkat memperkukuh kehadirannya dalam pasaran sebagai subkontraktor dengan melaksanakan kerja-kerja pemasangan konkrit pratuang IBS bagi pembangunan kediaman. 

Pendekatan progresif ini telah membolehkan MGB beralih kepada peranan sebagai kontraktor utama sambil terus membina kerjasama tempatan yang kukuh serta membangunkan bakat serantau. 

Mengulas mengenai penganugerahan ini, Pengerusi Eksekutif Kumpulan MGB Berhad, Tan Sri Dato’ Sri Ir. (Dr.) Lim Hock San, menzahirkan penghargaan kepada Kumpulan Syarikat ROSHN atas kepercayaan yang diberikan kepada MGB dan menegaskan komitmen MGB untuk menyiapkan projek dengan standard kualiti, kecekapan dan profesionalisme tertinggi. 

“Penganugerahan ini mengukuhkan lagi rekod pencapaian MGB di Timur Tengah dan memperkukuh visi Kumpulan untuk menjadi peneraju serantau dalam pembinaan berindustri serta pelaksanaan projek pembangunan perumahan berskala besar,”  

Walaupun terdapat ketegangan geopolitik semasa di rantau Timur Tengah, operasi perniagaan dan aktiviti pembangunan di bandar-bandar utama di Arab Saudi, termasuk Riyadh, Jeddah dan Madinah, kekal stabil serta terus berkembang seperti yang dirancang. Kami kekal yakin terhadap peluang jangka panjang di KSA dan komited untuk terus memperkukuh kehadiran kami dalam menyokong agenda pembangunan Kerajaan tersebut. ” 

-TAMAT-