Selangor, 1 April 2026 – MGB Berhad (“MGB” atau “Kumpulan”) , syarikat pembinaan dan pemaju hartanah serta pengeluar Sistem Binaan Berindustri (IBS) konkrit pratuang di bawah LBS Bina Group Berhad, dengan sukacitanya mengumumkan bahawa anak syarikat milik penuhnya, MGB Construction & Engineering Sdn Bhd, telah menerima Surat Anugerah (“LOA”) daripada daripada Lien Dak Builders Sdn Bhd bagi cadangan pembangunan Kuarters Pekerja Berpusat (“CLQ”) di Bukit Tambun, Pulau Pinang.  

LOA bernilai RM200.74 juta ini, merangkumi kerja-kerja pembinaan  bangunan utama, yang akan dibina dalam dua fasa. Fasa pertama melibatkan pembangunan sebuah blok CLQ setinggi 19 tingkat yang terdiri daripada 408 unit asrama pekerja, dilengkapi dengan sebuah blok fasiliti asrama pekerja empat tingkat, termasuk tempat letak kenderaan, sebuah depot sisa bersepadu dan dua unit pondok keselamatan. Manakala Fasa kedua meliputi sebuah blok CLQ setinggi 18 tingkat dengan 358 unit asrama pekerja serta sebuah blok bangunan utiliti. Kerja-kerja pembinaan dijangka siap dalam tempoh 21 bulan. 

Projek CLQ direka untuk menyediakan penginapan yang teratur dan sistematik untuk pekerja asing di seluruh negeri Pulau Pinang, selaras dengan aspirasi negeri untuk menempatkan pekerja lebih dekat dengan kawasan perindustrian serta mengurangkan kesesakan dan isu sosial. Selain itu, projek ini juga memberi keutamaan kepada aspek keselamatan dan menambah baik kualiti penginapan, khususnya bagi pekerja asing, serta secara beransur-ansur mengurangkan bilangan kuarters pekerja sementara di rantau tersebut. 

Bagi projek ini, MGB akan menggerakkan gabungan tenaga kerja serta kepakaran teknologi melalui penggunaan panel dan elemen konkrit pratuang IBS yang bereputasi dan terbukti keberkesanannya, sehingga ke utara tanah air, Pulau Pinang. Dihasilkan dalam persekitaran terkawal, konsistensi dan keseragaman panel serta elemen konkrit pratuang IBS mampu menjimatkan tempoh pembinaan sehingga 33% dan mengurangkan keperluan tenaga kerja di tapak sehingga 31% berbanding dengan kaedah pembinaan konvensional. MGB kini hampir menyiapkan lebih daripada 15,000 unit rumah pangsapuri dan rumah bertanah menggunakan panel dan elemen konkrit pratuang IBS, sekali gus membuktikan keberkesanan dan kecekapan penggunaannya dalam proses pembinaan. 

Pembangunan CLQ di Pulau Pinang ini juga mencerminkan peranan MGB yang semakin berkembang dalam menyediakan infrastruktur yang dibina khas sekali gus mengambil kira tanggungjawab sosial, serta menyokong kebajikan tenaga kerja sambil memenuhi piawaian peraturan dan operasi yang semakin ketat. Projek ini direka untuk menyediakan penginapan yang tersusun, mematuhi peraturan, dan berkualiti tinggi, selaras dengan inisiatif nasional untuk meningkatkan kualiti hidup tenaga kerja asing dan mempromosikan pembangunan bandar lestari. 

Tan Sri Dato’ Sri Ir. (Dr.) Lim Hock San, Pengerusi Eksekutif Kumpulan MGB, berkata: “Dalam usaha Kumpulan  untuk terus berkembang, kami secara konsisten menambah baik kekuatan operasi serta rekod pencapaian yang terbukti dalam menyiapkan dan menyerahkan pembangunan berskala besar yang dibina khusus mengikut keperluan. 

Sebagai sebuah syarikat pembinaan yang diiktiraf, kami terus mencari pertumbuhan dalam perniagaan utama kami. Dengan gabungan pendekatan yang berdisiplin dan terancang menerusi penggunaan alatan serta perisian digital terkini dalam pelaksanaan sesebuah projek, MGB memastikan setiap projek disiapkan mengikut masa. Langkah ini membolehkan kami memperkukuh identiti jenama MGB serta mewujudkan nilai jangka panjang untuk pihak berkepentingan. ” 

Dengan penganugerahan projek baharu yang bernilai kira-kira RM200.74 juta ini, jumlah baki buku pesanan Kumpulan meningkat kepada kira-kira RM1.29 bilion, setakat 28 Februari 2026. Sementara itu, jualan belum dibil daripada pembangunan hartanah kekal stabil pada RM394.94 juta bagi tempoh tersebut. 

-Tamat-