MEMPERKUKUH RANGKAIAN PERTUMBUHAN MASA DEPAN
Selangor, 13 Februari 2026 – MGB Berhad (“MGB” atau “Kumpulan”), yang merupkan penyedia penyelesaian pembinaan dan pembangunan hartanah serta anak syarikat LBS Bina Group Berhad, telah mengumumkan laporan kewangan tidak diaudit bagi suku keempat dan keseluruhan tahun yang berakhir pada 31 Disember 2025
Untuk suku dalam tinjauan, MGB mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 8.1 % kepada RM245.6 juta, berbanding RM227.2 juta pada suku tahun sebelumnya. Peningkatan ini terutamanya didorong oleh sumbangan hasil yang lebih tinggi daripada segmen pembinaan, dengan peningkatan hasil sebanyak 13.3% didorong oleh kemajuan berterusan daripada projek-projek yang sedang berjalan, termasuk Skyria, CI Medini dan Centrum Iris. Selaras dengan hasil yang lebih tinggi, keuntungan selepas cukai (“PAT”) meningkat sebanyak 14.2% kepada RM14.0 juta, berbanding RM12.3 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2025.
Bagi tahun kewangan 2025, Kumpulan mencatatkan hasil sebanyak RM916.9 juta, dengan PAT berjumlah RM50.3 juta. Tahun 2025 menandakan fasa peralihan bagi MGB, dengan kerja pembinaan projek Prestige dan Kita Sejati hampir siap, di samping penyerahan milikan kosong untuk Idaman Melur dan kemajuan pembangunan bagi Saujana Indah Fasa 1 dan Fasa 2. Pada masa yang sama, projek baharu diperoleh secara berperingkat. Pada sepanjang tahun, Kumpulan telah mencapai kemajuan yang kukuh dalam menambah semula buku pesanannya, dengan memperoleh kontrak baharu melebihi 1 bilion termasuk kontrak yang dianugerahkan di Kerajaan Arab Saudi yang berjumlah kira-kira RM532.6 juta. Selain itu, pelancaran pembangunan hartanah yang akan datang telah digerakkan bagi menyokong fasa pertumbuhan seterusnya, sekali gus memberikan prospek hasil yang lebih kukuh.”
Setakat 31 Disember 2025, MGB mengekalkan kedudukan kewangan yang sihat dengan baki tunai dan bank sebanyak RM94.5 juta, dan aset bersih sesaham meningkat kepada RM1.06, berbanding RM1.02 setahun yang lalu. Dengan nisbah hutang bersih sebanyak 0.07 kali, Kumpulan mempunyai keupayaan untuk mendapatkan pembiayaan tambahan bagi menyokong pertumbuhan masa depan.”
Mengulas keputusan ini, Tan Sri Dato’ Sri Ir. (Dr.) Lim Hock San, Pengerusi Eksekutif Kumpulan MGB, berkata, “Tahun kewangan 2025 merupakan tahun konsolidasi bagi MGB. Dengan beberapa projek utama hampir siap, Kumpulan terus mengukuhkan operasi, memperolehi kontrak baharu dan membina kemampuan untuk fasa pertumbuhan seterusnya. Dalam usaha meneroka bidang baharu, kami bukan sahaja memperoleh projek baharu dari luar, malah perkembangan kemajuan kami di Arab Saudi, dengan peralihan daripada kerja pembekalan dan pemasangan kepada peranan sebagai kontraktor utama, menandakan satu pencapaian penting bagi Kumpulan. Setakat ini, Kumpulan mempunyai buku tempahan pembinaan yang kukuh berjumlah RM1.15 bilion, yang akan terus memperkukuh pertumbuhan hasil yang berdaya tahan dan mengekalkan momentum operasi.”
“MGB terus menonjol melalui pelaksanaan yang konsisten dari segi kualiti, kecekapan, dan penambahbaikan berterusan merentasi semua pembangunan kami. Kumpulan turut mengekalkan skor QLASSIC yang tinggi, mencerminkan komitmen kumpulan terhadap mutu kerja yang tinggi dan pematuhan kepada penanda aras industri. Secara khusus, projek Kita Sejati telah mencapai skor QLASSIC 79% pada Oktober 2025, iaitu satu pencapaian yang membanggakan.”
-TAMAT-