Selangor, 12 Februari 2026 – MGB Berhad, (“MGB” atau “Kumpulan”), syarikat pembinaan dan pemaju hartanah serta pengeluar Sistem Binaan Berindustri (IBS) konkrit pratuang di bawah LBS Bina Group Berhad, telah mengadakan majlis “topping out” bagi projek Rumah Idaman Perdana, menandakan struktur utama bangunan telah berjaya disiapkan.

Dengan kedudukan strategik di Puncak Alam, Idaman Perdana dibangunkan di atas tanah seluas 10.52 ekar dan merangkumi sebanyak 1,048 unit kediaman. Projek ini direka bagi menyediakan gaya hidup selesa dan lestari bagi keluarga di kawasan bandar. Setiap unit kediaman berkeluasan sekurang-kurangnya 1,000 kaki persegi, dilengkapi dengan tiga bilik tidur, dua bilik air serta dua petak letak kereta. Setiap unit turut dilengkapi dengan kabinet, kabinet dapur, penyaman udara serta pemanas air, dan sedia untuk didiami.

Idaman Perdana merupakan projek terbaharu serta projek kelima yang mencapai tahap “topping out” dalam siri Rumah Idaman MBI. Pada tahun 2025, MGB telah menyiapkan kerja “topping out” bagi dua buah projek masing-masing di Idaman Sari dan Idaman Cahaya Fasa 2. MGB juga telah menyerahkan milikan kosong kepada seramai 1,448 pemilik rumah di Idaman Melur pada bulan Julai 2025. Kumpulan kekal konsisten untuk menyiapkan sejumlah 7,210 unit rumah mampu milik di bawah inisiatif Rumah Idaman MBI. Kesemua rumah dibina dengan menggunakan teknologi pratuang IBS bagi memastikan hasil yang konsisten dan berkualiti tinggi. Pencapaian ini merupakan hasil daripada proses pembinaan syarikat yang menggunakan sumber dengan cekap dan lestari serta meminimumkan pembaziran.

Mengulas di acara perasmian tersebut, Tan Sri Dato’ Sri Ir. (Dr.) Lim Hock San, Pengerusi Eksekutif Kumpulan MGB Berhad berkata, “Kejayaan “topping out” Idaman Perdana menandakan permulaan yang positif bagi tahun 2026. Kumpulan kini selangkah lebih dekat dalam menyediakan lebih banyak ruang kediaman berkualiti kepada rakyat Malaysia yang bekerja di Lembah Klang. Sehingga kini, lebih daripada 2,700 pemilik rumah telahpun berjaya memiliki unit kediaman masing-masing yang mudah diakses dengan kedudukan strategik di bawah inisiatif Rumah Idaman MBI, dan angka ini dijangka terus meningkat apabila lebih banyak projek kami menghampiri fasa penyiapan dan diserahkan kepada pemilik rumah. Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua rakan perniagaan, pihak berkepentingan, dan pembeli atas kepercayaan yang diberikan kepada kami dalam menyediakan rumah berkualiti yang memperkaya kehidupan.”


Noor Fansyurina binti Muhammad, Pengarah Bebas Bukan Eksekutif ; dan Nor Salinun binti Mohd Ghazali, Pengarah Bebas Bukan Eksekutif; Isaac Lim, Pengarah Eksekutif dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif; Tan Sri Dato’ Sri Ir. (Dr.) Lim Hock San, JP, Pengerusi Eksekutif Kumpulan MGB; Datuk Richard Lim, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif MGB Berhad;  Victor Wong, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif; Daniel Chew, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, bergambar ketika majlis topping out Idaman Perdana.

-TAMAT-